Anda di sini

AirAsia X sambung semula penerbangan ke Beijing

Advertisement
AirAsia X menyambung semula penerbangan ke Beijing bermula 30 Mac.
AirAsia X menyambung semula penerbangan ke Beijing bermula 30 Mac.

KUCHING: Selepas memulakan perkhidmatan ke Shanghai dan Hangzhou pada awal bulan ini, AirAsia X (AAX) terus mengembangkan rangkaian di China dengan dua penerbangan mingguan ke Beijing yang telah disambung semula pada 30 Mac.

Menurut kenyataan akhbarnya hari ini, penerbangan pertamanya dari Kuala Lumpur mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing Daxing pada jam 1.05 pagi.

Manakala, penerbangan pulang dari Beijing tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (Terminal 2) pada jam 8.30 pagi tadi.

Penyambungan semula perkhidmatan tersebut dijangka akan merangsang perjalanan bagi pengembara perniagaan dan pelancong di kedua-dua arah, dengan potensi peningkatan permintaan untuk perjalanan antarabangsa ke China selepas negara itu menyambung semula perkhidmatan pengeluaran visa pelancong baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Malaysia Benyamin Ismail berkata, penyambungan semula perkhidmatan ke Beijing ini adalah sejajar dengan komitmen syarikat untuk meningkatkan rangkaian di China. 

"Dari segi sejarah, China adalah salah satu pasaran terbesar dan paling popular kami dan perkhidmatan ini akan menawarkan para tetamu lebih pilihan dan nilai untuk melakukan perjalanan dari/ke Kuala Lumpur.

"Kami juga bakal menambah kekerapan laluan ini kepada empat penerbangan mingguan mulai 1 Jun 2023 untuk memenuhi permintaan yang dijangka akan meningkat, untuk menghubungkan ekonomi kedua terbesar di dunia dan ASEAN, serta memacu pemulihan sektor pelancongan di rantau ini.

"AAX akan mengumumkan lebih banyak laluan di China termasuk memperkenalkan laluan unik dan kurang diterokai pada masa hadapan," katanya.

Para tetamu dinasihatkan untuk menyemak keperluan perjalanan negara yang ingin dituju. 

Sempena sambutan penyambungan semula perkhidmatannya, AAX menawarkan diskaun 20 peratus ke Beijing untuk tempat duduk Ekonomi dan Premium Flatbed dalam penerbangan AAX (kod penerbangan D7). 

Tambang promosi tersebut tersedia untuk tempahan dari sekarang hingga 2 April 2023 untuk tempoh perjalanan antara 10 April 2023 dan 28 Oktober 2023.
 

Advertisement