Anda di sini

25 wanita dari Kadamaian jayakan kursus kraftangan

Advertisement
 Para peserta bersama tetamu kehormat merakamkan gambar kenangan pada kursus itu.
KENANGAN: Para peserta bersama tetamu kehormat merakamkan gambar kenangan pada kursus itu.

KOTA BELUD: Seramai 25 wanita menyertai Kursus Anyaman Buluh selama empat hari yang berakhir kelmarin, di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, di sini.

Kursus itu dianjurkan oleh Hopes Malaysia, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang aktif dalam membantu masyarakat dan Pusat Khidmat ADUN Kadamaian.

Pengerusi Penyelaras Pusat Khidmat ADUN Kadamaian, Anichlose Kesimin berkata, kursus yang julung kalinya dianjurkan selepas pandemik COVID-19 bertujuan meningkatkan kemahiran dan minat dalam seni kraf warisan di kalangan wanita khususnya suri rumah, ibu tunggal serta belia.

“Saya berharap mereka dapat menggunakan kemahiran seni kraf untuk menghasilkan lebih banyak produk kraftangan mengikut kreativiti masing-masing bagi menambah sumber pendapatan keluarga.

“Mereka boleh menjual produk kraftangan mereka di pusat-pusat eko pelancongan di Kadamaian sebagai cenderahati.

"Ini kerana kraftangan adalah antara produk yang popular sebagai hadiah atau cenderahati, sama ada untuk pelancong tempatan atau asing,” katanya.

Anichlose berharap, kursus seumpama itu dapat diteruskan pada masa akan datang bagi membolehkan lebih ramai peserta menyertainya.

“Pusat Khidmat ADUN Kadamaian merakamkan tahniah dan terima kasih kepada pihak Hopes Malaysia yang diketuai oleh Sam Lee dan Efendi Lim kerana memilih Kadamaian sebagai lokasi menganjurkan kursus ini,” katanya.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada tenaga pengajar daripada Koperasi Kraf Batu Lunguyan Sook Berhad, Keningau kerana memberikan kerjasama menjayakan program itu.

“Terima kasih juga kepada Datuk Ewon Benedick selaku ADUN Kadamaian merangkap Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi kerana memberikan kepercayaan kepada Pusat Khidmat ADUN Kadamaian menyelaraskan program ini, khasnya menyediakan tempat dan kemudahan selesa kepada para peserta,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement