Anda di sini

Tingkat usaha kekalkan kesiapsiagaan keselamatan ESSCOM

Advertisement
 Acryl menyaksikan Idris menyerahkan dokumen serah terima tugas kepada Jauteh di IPK Sabah di sini.
SERAH: Acryl menyaksikan Idris menyerahkan dokumen serah terima tugas kepada Jauteh di IPK Sabah di sini.

KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pasukan keselamatan negara meningkatkan usaha untuk memperkukuh serta memperkasa Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) menjelang 10 tahun penubuhannya.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata seperti sedia maklum kawasan pesisir pantai timur di Sabah sentiasa terdedah dengan ancaman keselamatan termasuklah tuntutan Filipina terhadap Sabah, penyeludupan, pendatang tanpa izin (PTI), jenayah serantau dan penculikan untuk tebusan yang dilihat bukanlah ancaman baharu.

“PDRM melalui ESSCOM dan pasukan keselamatan Sabah diberikan tanggungjawab melindungi keselamatan ESSZONE daripada sebarang bentuk ancaman keselamatan termasuk di kawasan perbatasan dan perairan Pantai Timur Sabah.

“Apa yang kita alami sekarang agak tenang dan terkawal, bagaimanapun ini tidak bermakna kita melonggarkan langkah keselamatan yang sudah diletakkan selama 10 tahun.

“Kita tidak boleh bersikap sambil lewa dan perlu memberitahu kepada pihak luar bahawa aspek keselamatan negara pada tahap tertinggi seterusnya menunjukkan kita tidak akan berkompromi serta bertolak ansur kepada sebarang jenayah rentas sempadan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Pesuruhjaya Polis Sabah antara Datuk Idris Abdullah dan Datuk Jauteh Dikun sebagai pemangku jawatan terbabit di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini.

Katanya beberapa langkah sudah dan sedang dilaksanakan termasuklah penambahan dua Batalion Pasukan Gerakan Am (PGA) masing-masing Batalion 21 Keningau dan Batalion 22 Kunak seterusnya menjadikan Sabah mempunyai tujuh batalion PGA. 

“PDRM juga sedang dalam perancangan meningkatkan keupayaan Pasukan Polis Marin (PPM) bagi memastikan ancaman yang datang dari arah laut dapat dikurangkan.

“Kita juga mengambil kira faktor perkembangan infrastruktur seiring dengan pembangunan ibu negara baharu Indonesia di Kalimantan Timur yang dilihat memberi impak terhadap situasi keselamatan di kawasan sempadan,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan berasingan Acryl berkata kes kehilangan seorang lelaki berumur 31 tahun di Kampung Perigi pada Rabu lalu setakat ini tidak berkaitan dengan isu penculikan berdasarkan kepada sudut penyiasatan berkenaan kes terbabit.

“Berdasarkan risikan yang dijalankan, kes terbabit tidak terkesan dengan jenayah penculikan berikutan tiada unsur permintaan wang tebusan yang diterima daripada mana-mana pihak.

“Sudut lain termasuk kes ceti haram juga tidak terlibat kerana pihak polis tidak mengesan sebarang maklumat atau sejarah peminjaman daripada mangsa, begitu juga dengan kehidupan peribadi mangsa yang tidak terkesan dengan sebarang isu yang menjurus kepada masalah peribadi.

“Mangsa juga tidak terlibat dengan sebarang urus niaga mencurigakan berikutan mangsa bekerja sebagai penyelia di kwdai emas milik sepupunya,” katanya.

Katanya mangsa juga dikatakan keluar dari rumah lalu menaiki kereta sewa dengan nombor pendaftaran kenderaan yang tidak dapat dipastikan sebelum menghilangkan diri.

Tambahnya berdasarkan kepada penelitian terbabit, setakat ini polis mengklasifikasikan kes sebagai Kes Orang Hilang.

  • oleh
  • Advertisement