Anda di sini

Proses mengisi jawatan pegawai ESSCOM masih berjalan

Advertisement
Utusan Borneo
Utusan Borneo

KOTA KINABALU: Proses mengisi jawatan yang ditinggalkan pegawai Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) yang sebelum ini dituduh di mahkamah susulan kes bunuh di Tawau masih berjalan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata beberapa jawatan yang kosong berkenaan bagaimanapun sudah diisi dan pihaknya juga sedang mengenal pasti pegawai dan anggota yang sesuai bagi mengisi sebahagian lagi jawatan yang masih kosong.

"Sekarang ini kita sedia maklum ada beberapa pegawai dan anggota didakwa di mahkamah dan menyebabkan beberapa kekosongan di jawatan berkenaan.

“Tindakan bagi membuat pengisian jawatan yang ditinggalkan sudah dilaksanakan dan kita juga dalam proses mengenal pasti pegawai dan anggota yang sesuai untuk ditempatkan di jawatan yang ditinggalkan kosong itu.

“Pengisian ini adalah bagi memastikan perjalanan operasi ESSCOM tidak akan terjejas pada masa akan datang," katanya dalam sidang media selepas Majlis serah terima tugas Pesuruhjaya Polis Sabah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini semalam.

Terdahulu mayat seorang lelaki ditemukan dalam kawasan semak di Tawau selepas dipercayai dibunuh pada 13 Januari lalu.

Turut ditemukan sebuah kereta jenis kompak bersebelahan dengan mayat mangsa.

Susulan kejadian itu, bebarapa individu termasuk anggota dan empat pegawai ESSCOM ditahan bagi membantu siasatan.

Salah seorang daripadanya iaitu isteri kepada mangsa, sudah dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

  • oleh
  • Advertisement