Anda di sini

Pemandu maut tersepit setelah kereta terbabas

Advertisement
Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kereta yang dipandunya dalam kemalangan jalan raya di KM22 Jalan Saratok-Sarikei hari ini.
Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kereta yang dipandunya dalam kemalangan jalan raya di KM22 Jalan Saratok-Sarikei hari ini.

SARIKEI: Seorang lelaki maut dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 22 Jalan Saratok-Sarikei berdekatan simpang Selalang, pagi tadi.

Mangsa, 37, dilaporkan meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di Hospital Sarikei.

Dalam kejadian itu, kereta dipandu mangsa dipercayai terbabas dan merempuh simen pembahagi jalan serta seorang pekerja Pan Borneo yang sedang bekerja di lokasi berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei Mahmudin Narudin berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan tersebut pada jam 9.50 pagi.

"Sejurus itu, sepasukan anggota bomba dikerahkan ke lokasi dan ketika sampai, anggota bomba mendapati pemandu kereta terbabit tersepit di tempat duduk pemandu.

"Berdasarkan situasi itu, anggota bomba bertindak mengeluarkan mangsa dengan peralatan menyelamat ResQ Tech dan Homaltro EMRS.

"Usaha mengeluarkan mangsa yang tersepit mengambil masa 16 minit dan sejurus berjaya dikeluarkan, mangsa diserahkan kepada pihak ambulans untuk dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut," kata Mahmudin kepada media.

Pada masa sama kata Mahmudin, pekerja Pan Borneo terbabit yang berusia 55 tahun dilaporkan turut tercedera pada bahagian kaki akibat dirempuh kereta mangsa.

"Pekerja yang cedera terbabit dibawa menggunakan ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) ke Hospital Sarikei untuk mendapatkan rawatan.

"Setelah memastikan keadaan di lokasi selamat dan terkawal, pasukan bertolak balik ke balai," ujar Mahmudin lagi.
 

  • oleh
  • Advertisement