
KOTA KINABALU: Koperasi Pekerja-Pekerja Kerajaan Sabah Berhad (KOPEKS) sekali lagi tampil melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) sempena bulan Ramadan, dengan menyerahkan sumbangan kepada rumah anak yatim serta golongan asnaf.
Rumah Amal Kasih Kingfisher, Likas dan Home Tuaran, Tuaran serta golongan asnaf di Kampung Sungai Damit, Tuaran menerima sumbangan daripada KOPEKS, sempena dengan ulang tahun yang ke-60 koperasi itu.
Sumbangan bantuan yang diserahkan itu berupa makanan keperluan harian dan wang tunai.

KOPEKS dalam kenyataan berkata, pihaknya berbesar hati untuk berkongsi sedikit rezeki bagi membantu masyarakat yang memerlukan selaras dengan tujuan Gerakan Koperasi iaitu menjadi wadah untuk membantu rakyat memperbaiki dan meningkatkan taraf hidup melalui aktiviti perkumpulan.
KOPEKS memulakan agihan sumbangan CSR pada 28 Mac hingga 29 Mac yang diketuai oleh Pengerusi KOPEKS, Jaibit Jaudin; Setiausaha KOPEKS, Abdul Ghafor Ag. Yaacob; Anggota Lembaga Koperasi KOPEKS, Sulaiman Awang; Ketua Pegawai Eksekutif KOPEKS, Buvil Angkui dan pengurusan KOPEKS.
Di Rumah Amal Kasih Kingfisher, Jaibit menyerahkan sumbangan kepada penjaga rumah anak yatim, Ustaz Jamrie Saparih yang diiringi Abdul Ghafor, Sulaiman dan Buvil serta Jawatankuasa Audit Dalaman KOPEKS, Pengurusan KOPEKS dan AJK Rumah Amal Kasih Kingfisher.
Di Home Tuaran pula, sumbangan diserahkan oleh Sulaiman Awang kepada Pengerusi rumah anak yatim, Home Tuaran Sulaiman Osman bersama Buvil dan diiringi Jawatankuasa Audit Dalaman KOPEKS, Pengurusan KOPEKS dan AJK Home Tuaran.
Bagi golongan asnaf di Kg Sungai Damit, Tuaran pula, sumbangan diserahkan oleh Sulaiman Awang kepada wakil Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Jahid Jahim, iaitu Faisal untuk diagihkan kepada asnaf di Tamparuli, yang disaksikan Buvil; Jawatankuasa Audit Dalaman KOPEKS; Pengurusan KOPEKS dan AJK Home Tuaran.
