Anda di sini

Jauteh memangku jawatan Pesuruhjaya Polis Sabah

Advertisement
 Jauteh menerima tongkat kuasa daripada Idris sebagai simbolik penyerahan tugas Pesuruhjaya Polis Sabah dengan disaksikan Acryl.
SERAH: Jauteh menerima tongkat kuasa daripada Idris sebagai simbolik penyerahan tugas Pesuruhjaya Polis Sabah dengan disaksikan Acryl.

KOTA KINABALU: Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun dilantik sebagai Pemangku Pesuruhjaya Polis Sabah berkuat kuasa semalam selepas mengambil alih tugas itu daripada Datuk Idris Abdullah yang bersara wajib hari ini.

Majlis penyerahan tugas disaksikan Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini.

Turut berlangsung majlis serah terima tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Kontinjen Sabah antara isteri Idris, Datin Suraya Zainal kepada isteri Jauteh, Datin Norhayatie Farhana Abdullah yang akan memangku tugas berkenaan. 

Idris memegang jawatan Pesuruhjaya Polis Sabah selama setahun enam bulan bermula pada 2 September 2021 bagi menggantikan Datuk Seri Hazani Ghazali sebelum ini yang dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman.

Acryl Sani berkata kerajaan serta pucuk pimpinan PDRM memberikan penghargaan tidak terhingga kepada Idris yang berkhidmat selama lebih 35 tahun dalam pasukan itu.

"Beliau memberi perkhidmatan yang terbaik bermula daripada jawatan pertama sehingga sekarang dan bersara dengan jawatan pangkat Komisioner Polis, ini adalah satu pencapaian yang sangat membanggakan dalam kerjaya seorang pegawai polis.

"Tentu sekali pihak PDRM mengucapkan selamat bersara kepada beliau (Idris)," katanya semasa sidang media selepas majlis terbabit.

Beliau berkata PDRM percaya dengan pengalaman luas dalam pelbagai tugas serta bidang yang selama ini diperoleh Jauteh.

"Saya percaya dan yakin Sabah ini berada di tangan pemimpin yang betul untuk dikendalikan daripada aspek keselamatan, keharmonian sosial dan kesejahteraan rakyat Sabah," katanya.

Sementara itu ditanya mengenai pelantikan Jauteh sebagai pemangku, Acryl Sani berkata pihaknya akan mengumumkan pelantikan rasmi jawatan Pesuruhjaya Polis Sabah dalam tempoh terdekat.

"Untuk makluman, satu mesyuarat akan diadakan oleh Pesuruhjaya Pasukan Polis hujung minggu ini bagi membincangkan dan juga untuk memilih serta mengesyorkan nama-nama yang akan dipilih bukan sahaja di Sabah, bahkan juga di beberapa tempat lain.

"Terdapat beberapa calon nama Pesuruhjaya Polis Sabah yang dikemukakan dan dibincangkan dalam mesyuarat dan kita tunggulah apa keputusan mesyuarat yang akan dibuat tidak berapa lama lagi," katanya.

  • oleh
  • Advertisement