Anda di sini

Tukang masak mengaku miliki kanabis didenda RM5,000

Advertisement
 

KUCHING: Seorang tukang masak dari Kampung Bintawa Hilir di sini dijatuhi hukuman denda RM5,000 atau lapan bulan penjara sekiranya gagal membayar selepas mengaku bersalah memiliki 18.79 gram kanabis.

Azwan Ahmad, 31, didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6 Akta yang sama.

Seksyen itu membawa hukuman denda tidak lebih daripada RM20,000 atau dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. 

Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan tersebut pada 6 Januari lalu, sekitar jam 9.50 malam di tepi sebuah premis gerai makanan di Lorong Metrocity Boulevard 3 di Petra Jaya di sini.  

Fakta kes mendedahkan polis menahan tertuduh yang disyaki terlibat kegiatan dadah. 

Semasa pemeriksaan dilakukan, tertuduh mengeluarkan sendiri dua peket plastik lutsinar beris ketulan mampat dedaun kering disyaki dadah jenis ganja dengan berat kasar 21 gram dari poket hadapan apron yang dipakai oleh tertuduh pada masa kejadian dan menyerahkannya kepada pihak polis.

Semasa dalam siasatan polis, barang kes berkenaan telah di hantar ke Jabatan Kimia Malaysia, Kuching untuk dianalisis.

Laporan Kimia bertarikh 7 Februari lalu mengesahkan bahawa barang kes mengandungi 18.79 gram dadah jenis kanabis yang merupakan sejenis dadah tersenarai di bawah Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

Advertisement