Anda di sini

Tidak dapat daftar kahwin di bawah undang-undang sivil kerana perkahwinan ibu bapa diakad secara Islam

Advertisement
Foo menunjukkan butiran kes kepada pemberita semasa sidang media yang diadakan di ibu pejabat SUPP di Kuching hari ini.
Foo menunjukkan butiran kes kepada pemberita semasa sidang media yang diadakan di ibu pejabat SUPP di Kuching hari ini.

KUCHING: Biro Aduan Awam (PCB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) sedang membantu seorang anak Sarawak bukan beragama Islam secara rasmi yang berhasrat untuk mendaftarkan perkahwinan di bawah undang-undang sivil tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana mempunyai ibu bapa yang perkahwinannya diakadnikahkan di bawah undang-undang Islam.

Bercakap kepada pemberita hari ini, Ketua Biro Milton Foo mendedahkan bahawa PCB SUPP telah menerima permintaan bantuan daripada invididu yang enggan didedahkan namanya itu pada September tahun lepas.

Menurut Foo, individu itu menyatakan bahawa walaupun perkahwinan ibu bapanya diakadnikahkan di bawah undang-undang Islam, dia mempunyai semua dokumen rasmi yang menyatakan bahawa dia merupakan orang bukan Islam (Kristian).

"Individu tersebut mempunyai sijil kelahiran yang mengatakan bahawa dia beragama Kristian dan kedua-dua ibu bapanya beragama Kristian. 

“Namun, perkahwinan ibu bapanya didaftarkan di bawah undang-undang Islam. Individu itu juga secara rasminya beragama Kristian," katanya pada sidang media yang diadakan di ibu pejabat SUPP di sini hari ini.

Menurut Foo, beberapa semakan melalui pelbagai rekod pendaftaran rasmi telah dilakukan ke atas individu tersebut, termasuk semakan pada cip kad pengenalan (MyKad) dan rekod JPN; kesemuanya mengesahkan dia berdaftar sebagai seorang beragama Kristian.

Foo menambah, semakan lanjut dengan Jabatan Agama Islam setakat ini turut masih belum menemui rekod individu berkenaan didaftarkan sebagai seorang Muslim di Malaysia. 

Bagaimanapun, individu tersebut berhadapan masalah apabila dia ingin mendaftarkan perkahwinannya di bawah undang-undang sivil.

“Individu itu juga telah menjalani kehidupan sebagai seorang Kristian dari usia sangat muda; malah dia turut mempunyai semua dokumentasi yang mengatakan bahawa dia bukanlah seorang Muslim.

“Selain itu, dia tidak pernah diberitahu oleh ibu bapanya bahawa dia beragama Islam, malah tidak pernah mengamalkan Islam sebagai kepercayaan dalam kehidupan.

"Hanya apabila dia ingin mendaftarkan perkahwinannya di bawah undang-undang sivil, dia dihalang oleh JPN daripada berbuat demikian kerana jabatan itu mendapati perkahwinan ibu bapanya diakadnikahkan di bawah undang-undang Islam," katanya.

Susulan itu, Foo mendedahkan individu tersebut telah menghubungi firma guaman di Kuching untuk menulis kepada Jabatan Agama Islam dan JPN mengenai status agamanya, selain membuat permohonan pendaftaran perkahwinan di bawah undang-undang sivil.

Menurut Foo, JPN telah memberitahu individu itu untuk mendapatkan keputusan mahkamah bagi membolehkan dia berkahwin di bawah undang-undang sivil dan supaya dia didaftarkan dengan Jabatan Perkahwinan JPN.

Bagaimanapun kata Foo, individu tersebut berhasrat untuk mengelakkan sebarang pertikaian undang-undang yang mungkin akan menimbulkan bayaran terlalu tinggi.

“Selepas berbalas beberapa surat, JPN pada 2 Mac tahun ini telah menjawab firma guaman yang dilantik dan menolak permohonan pendaftaran perkahwinan terbabit, sambil meminta individu itu mendapatkan keputusan mahkamah bagi tindakan selanjutnya.

"PCB SUPP dengan itu akan membantu individu tersebut untuk merayu kepada JPN di Kuala Lumpur dan jika perlu, menulis kepada Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail untuk semakan eksekutif kes ini, sebelum menggunakan remedi undang-undang di mahkamah yang mungkin menimbulkan bayaran yang terlalu tinggi," katanya.

Foo berpendapat keadaan ini adalah tidak adil kepada individu itu, selain menyatakan dia merupakan mangsa sistem pendaftaran negara. 

“JPN telah memasukkan biodata individu tersebut khususnya berhubung status agama dia sebagai Kristian semasa pendaftaran sijil kelahiran. Malah pengenalan diri individu itu turut menyatakan dia beragama Kristian,” ujar Foo.

Advertisement