Anda di sini

Tanah runtuh di Ecuador, tujuh maut, hampir 50 hilang

Advertisement
Gambar serahan Sekretariat Komunikasi Ecuador menunjukkan anggota bomba semasa operasi menyelamat selepas tanah runtuh di Alausi, Ecuador semalam. — Gambar AFP
Gambar serahan Sekretariat Komunikasi Ecuador menunjukkan anggota bomba semasa operasi menyelamat selepas tanah runtuh di Alausi, Ecuador semalam. — Gambar AFP

ALAUSI: Anggota penyelamat kelmarin melancarkan operasi mencari hampir 50 orang yang dilaporkan hilang selepas kejadian tanah runtuh berpunca daripada hujan lebat selama beberapa bulan yang mengorbankan sekurang-kurangnya tujuh orang di selatan Ecuador.

Gelongsoran lumpur berlaku semalaman Ahad hingga kelmarin, menimbus beberapa rumah dan mencederakan 23 orang di perkampungan Alausi di wilayah Chimborazo, kira-kira 300 kilometer (180 batu) di selatan Quito, kata pihak berkuasa.

Anggota penyelamat dan warga awam telah dilihat kelmarin cuba membuang serpihan dengan menggunakan tangan untuk menghampiri mana-mana mangsa yang masih hidup di celah-celah kepingan besi dan dahan pokok yang patah.

Di jalan raya Alausi yang berlumpur, sebuah kawasan penempatan bagi kira-kira 45,000 orang yang dikelilingi oleh bukit-bukau hijau, penduduk dilihat berkumpul ketika menunggu khabar berita, ramai yang menitiskan air mata.

Runtuhan tanah itu turut menimpa beberapa bangunan awam, merosakkan jalan raya dan menyebabkan penutupan tiga sekolah.

“Saya berjaya menyelamatkan diri dalam masa kira-kira 15 minit sebelum kejadian,” Jose Agualsaca memberitahu Teleamazonas, menyatakan dia telah bergegas untuk mengeluarkan semua barang dari rumah sebelum lumpur itu muncul.

Presiden Guillermo Lasso berkata anggota bomba dari kawasan berhampiran telah bergegas ke kampung itu untuk membantu penduduk yang terjejas.

Beliau menggesa semua penduduk agar berpindah dari kawasan yang terjejas.

Kerajaan mengerahkan polis, pasukan bersenjata, kementerian kesihatan dan Palang Merah untuk membantu usaha menyelamat.

“Kami telah mengaktifkan penempatan sementara dan menyediakan tempat tidur bagi mereka yang kehilangan rumah,” menurut satu kenyataan kerajaan di Twitter.

Sejak awal tahun, hujan lebat di Ecuador telah menyebabkan kematian 22 orang, memusnahkan 72 rumah dan merosakkan lebih 6,900, menurut sekretariat pengurusan risiko SNGR. — AFP

Advertisement