
RANAU: Sebuah surau sekolah pondok tahfiz di Kampung Kundasang Lama dekat sini terjejas akibat kebakaran dalam kejadian semalam.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah berkata, Sistem Tindak Balas Kecemasan Malaysia (MERS) 999 menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.27 petang.
Katanya, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau bertindak ke lokasi kejadian untuk operasi pemadaman.
"Kebakaran melibatkan sebuah surau milik sekolah pondok tahfiz jenis separuh kekal yang terbakar sekitar 80 peratus.
"Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang kira-kira 60 meter dengan dua pancutan sumber air dari jentera bomba," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, tiada mangsa dilaporkan terlibat dan operasi terkawal pada jam 5.30 petang sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.27 malam.