Anda di sini

Sekatan ke atas Abramovich faktor kerugian kelab: Chelsea

Advertisement
ABRAMOVICH
ABRAMOVICH

LONDON: Chelsea berkata sekatan yang dikenakan oleh kerajaan ke atas bekas pemilik kelab, Roman Abramovich menjadi faktor kerugian kelab sebanyak 121.3 juta pound untuk musim 2021/2022.

Jutawan Rusia, Abramovich telah disekat oleh kerajaan United Kingdom (UK) pada Mac tahun lalu berikutan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

Para menteri menggambarkannya sebagai sebahagian daripada orang dalaman Presiden Rusia Vladimir Putin.

Chelsea diletakkan di bawah lesen khas yang mengehadkan keupayaan mereka untuk menjual tiket, menerima tempahan acara dan juga menandatangani kontrak dengan pemain.

Sekatan itu kekal sehingga 30 Mei tahun lalu apabila sebuah konsortium baharu yang diketuai oleh ahli perniagaan Amerika, Todd Boehly melengkapkan pengambilalihan kelab itu.

Chelsea berkata dalam satu kenyataan kelmarin bahawa pendapatan meningkat kepada 481.3 juta pound daripada 434.9 juta pound pada tahun sebelumnya walaupun sekatan demikian.

 Hasil komersil meningkat kepada 177.1 juta pound.

Laporan kewangan ini tidak meliputi pengambilalihan Chelsea dalam dua jendela perpindahan yang lalu, ketika mereka dilaporkan telah membelanjakan kira-kira 600 juta pound untuk pemain baharu.

Laporan 2021/2022 menunjukkan 118 juta pound dilaburkan dalam skuad, termasuk rundingan semula kontrak pemain sedia ada, dan keuntungan sebanyak 123 juta pound diperoleh daripada penjualan pemain termasuk Tammy Abraham, Marc Guehi, Fikayo Tomori dan Kurt Zouma.

Chelsea berkata mereka terus mematuhi peraturan kewangan UEFA dan Liga Perdana walaupun mengalami kerugian dan kesan sekatan.

Kelab itu menyatakan bahawa kesan sekatan terhadap keputusan kewangan juga akan dirasai “pada tahun-tahun berikutnya”.

Chelsea kini berada di tangga ke-10 dalam carta Liga Perdana selepas peningkatan prestasi baru-baru ini di bawah pengurus Graham Potter. — AFP 

Advertisement