Anda di sini

Salah guna dadah, lelaki didenda RM2,500

Advertisement
 

MIRI: Padah menggunakan dadah berbahaya tanpa kebenaran pihak berkuasa, seorang lelaki didenda RM2,500 atau dua bulan penjara oleh Mahkamah Majistret, hari ini.
    
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh supaya menjalani pengawasan oleh pihak polis selama tempoh dua tahun.
    
Edward Imbak, 50, dari Jalan Cahaya, Lopeng di sini didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (Akta 234) dan dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama.
    
Jika sabit kesalahan, boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara dua tahun dan serta-merta dikehendaki menjalani pengawasan oleh pegawai sebagaimana ditakrifkan di bawah Seksyen 2 Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 selama tempoh tidak kurang dari dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun mengikut Seksyen 38B ADB 1952.
    
Menurut keterangan kes, tertuduh didapati telah menggunakan dadah berbahaya jenis amphetamine dan methamphetamine yang terkandung di dalam Jadual Pertama ADB 1952 (Akta 234), dengan cara memasukkan dadah tersebut ke dalam tubuh badan sendiri tanpa kebenaran pihak berkuasa.
    
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 1.50 petang, 31 Julai 2020 di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Miri.
    
Pendakwaan dilakukan Inspektor Mudzilawati Abdul Rahman di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Randu Rangen.

Advertisement