
KUCHING: Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah yakin pembinaan pusat sukan berprestasi tinggi Sarawak dapat direalisasikan selepas Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta kabinet negeri menyatakan sokongan penuh terhadap penubuhannya.
Beliau berkata, pembinaan pusat sukan berprestasi tinggi itu penting kerana ia antara inisiatif kerajaan negeri melahirkan jaguh-jaguh sukan di peringkat antarabangsa.
"Kita akan melihat New Zealand sebagai model kerana pencapaian cemerlangnya dalam Sukan Olimpik dengan memenangi 16 pingat emas...pasti ada rahsia di sebalik kejayaan itu.
"New Zealand hanya ada kira-kira 4 juta penduduk berbanding Malaysia, kira-kira 30 juta orang...kita belum mendapat emas kecuali (atlet) para.
"Oleh itu kita percaya, untuk seseorang itu cemerlang dalam sukan, pusat sukan berprestasi tinggi seperti ini sangat penting," katanya pada sidang media di pejabatnya di bangunan Baitulmakmur II, di sini, hari ini.
Abdul Karim berkata di pusat ini atlet akan dijaga dalam semua aspek antaranya pemakanan, latihan dan penjagaan kesihatan oleh pakar terlatih.
Terdahulu media melaporkan Abdul Karim sebagai berkata pembinaan pusat sukan berprestasi tinggi itu masih di peringkat perancangan dan dirancang dibina berdekatan Kompleks Sukan di Petra Jaya.
Ia katanya, akan menyediakan fasiliti latihan sama seperti di Kompleks Sukan Negara di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Tambahnya lagi, pusat itu akan diurus oleh pakar-pakar sukan dalam memastikan objektif penubuhannya tercapai iaitu melahirkan atlet pelbagai disiplin sukan cemerlang di pentas global.