Anda di sini

LBK diminta teruskan kecemerlangan PBT terbaik di Malaysia

Advertisement
 Joachim (dua kiri) menyampaikan watikah pelantikan kepada salah seorang ahli majlis LBK sambil disaksikan Isnin (kanan) dan Rusdi.
WATIKAH: Joachim (dua kiri) menyampaikan watikah pelantikan kepada salah seorang ahli majlis LBK sambil disaksikan Isnin (kanan) dan Rusdi.

KUDAT: Lembaga Bandaran Kudat (LBK) diminta supaya dapat mengekalkan kecemerlangan antara Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terbaik di Malaysia.

LBK adalah penerima Anugerah Sijil Penarafan Bintang Pihak Berkuasa Tempatan (SPBPBT) dengan meraih lima bintang dengan memenangi tempat ke-3 kategori daerah seluruh negara, PBT terbaik bagi kriteria pengurusan dan PBT terbaik bagi kriteria pengurusan pelanggan.

Selain itu, LBK juga berada di kedudukan ke-33 di Malaysia dan pertama di Sabah dan pernah menjadi PBT terbaik kriteria penyertaan komuniti dan pandangan penduduk (SPBPBT) serta antara lima terbaik di Malaysia menerima Anugerah Apresiasi Khas 2022, Bandar Keluarga Bahagia Kudat.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Joachim Gunsalam berkata, kejayaan LBK itu adalah sesuatu yang membanggakan buat negeri Sabah.

“Anugerah besar yang diterima oleh LBK itu perlu menjadi kebanggaan rakyat di negeri ini kerana mampu bersaing dengan PBT yang lebih maju di negeri lain.

“Saya berharap ahli majlis LBK perlu bekerja lebih keras bagi mengekalkan pencapaian yang telah dikecapi sebelum ini,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah berkata demikian ketika merasmikan Majlis Upacara Angkat Sumpah ahli majlis LBK bagi sesi 2023-2025, di sini semalam.

Katanya, ahli majlis yang dilantik perlu mempunyai mentaliti berasaskan perniagaan supaya mereka dapat membantu LBK menjana pendapatan yang lebih.

“Lantikan ini bukanlah satu keistimewaan, tetapi ia adalah satu amanah dan tanggungjawab yang penting untuk membantu penduduk di Kudat.

“Saya berharap ahli-ahli majlis LBK akan terus komited, amanah serta bekerjasama dalam menjalankan tugas selama tempoh masa dua tahun ini,” katanya.

Sementara itu, Pesuruhjaya LBK, Rusdi Belun berharap semua ahli majlis yang dilantik perlu memainkan peranan untuk menjadikan daerah ini sentiasa indah, bersih, segar, selamat dan membangun mengikut peredarah waktu.

Katanya, pelantikan itu juga bukan dijadikan peluang untuk memenuhi kepentingan diri sendiri, rakan-rakan ataupun ahli keluarga masing-masing.

“Tanggungjawab dan amanah semua ahli majlis adalah berat serta sangat penting untuk membantu masa depan daerah Kudat yang lebih baik.

“Ahli-ahli majlis perlu terus peka terhadap kepentingan awam serta bertangungjawab dalam menyumbang idea dan kepakaran untuk meningkatkan mutu perkhidmatan LBK,” katanya.

Turut hadir, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Isnin Aliasnih; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Kapor, Chong Chen Bin @ Ben Chong; ADUN Banggi, Mohammad Mohammarin dan ADUN Matunggong, Datuk Julita Majungki.

  • oleh
  • Advertisement