Anda di sini

KDN diminta selesaikan masalah setinggan di Sabah

Advertisement
LO SU FUI
LO SU FUI

TAWAU: Kementerian Dalam Negeri (KDN) diminta segera menyelesaikan masalah penempatan setinggan yang banyak terdapat di Sabah.

Ahli Parlimen Tawau, Lo Su Fui berkata, isu penempatan setinggan di negeri ini sudah berlarutan terlalu lama tanpa jalan penyelesaian yang tuntas.

Katanya, masalah itu menimbul keresahan penduduk dan ketenteraman awam kerana jenayah banyak berlaku di kawasan penempatan tersebut.

“Sejak dahulu lagi, penempatan setinggan menjadi penyumbang kepada kes kecurian elektrik dan air di Sabah sehingga mengakibatkan kerajaan mengalami kerugian hampir RM100 juta setiap tahun.

“Kawasan itu juga selalu menjadi sarang jenayah seperti pengedaran dadah, kecurian dan kemasukan pendatang tanpa izin (PTI),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika meminta menteri KDN mengatasi masalah setinggan di Tawau pada sidang Parlimen, baru-baru ini.

Menurutnya, Tawau antara daerah yang banyak penempatan setinggan seperti di Kampung Kurnia Jaya, Kampung Hidayat, Kampung Batu 3 Sri Aman dan banyak lagi.

Beliau berkata, pihaknya mahu mengetahui langkah yang akan diambil oleh KDN bagi mengatasi masalah setinggan di Sabah.

“KDN juga perlu bekerjasama dengan kerajaan Sabah dan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi mengenal pasti penduduk tempatan yang tinggal di kawasan setinggan.

“Perlunya ada tindakan daripada kementerian untuk mengenal pasti penduduk tempatan tersebut bagi memudahkan urusan pemindahan mereka ke Projek Perumahan Rakyat (PPR),” katanya.

Lo memohon supaya KDN segera melakukan tindakan kerana banyak aduan yang diterima berkaitan penempatan setinggan khususnya penduduk berhampiran.

“Saya percaya kadar jenayah di Sabah akan menurun sekiranya pihak KDN dapat menyelesaikan masalah setinggan ini,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement