Anda di sini

Enam maut ditembak di sekolah Kristian Nashville

Advertisement

Penyerang dikenal pasti sebagai lelaki transjantina yang juga bekas pelajar sekolah berkenaan

 Kanak-kanak bersatu semula dengan ibu bapa mereka selepas kejadian tembakan yang mengorbankan enam nyawa di sebuah sekolah Kristian di Nashville kelmarin. — Gambar AFP 
SELAMAT: Kanak-kanak bersatu semula dengan ibu bapa mereka selepas kejadian tembakan yang mengorbankan enam nyawa di sebuah sekolah Kristian di Nashville kelmarin. — Gambar AFP 

WASHINGTON: Seorang bekas pelajar yang bersenjata telah menembak mati tiga kanak-kanak dan tiga kakitangan dalam apa yang kelihatan sebagai serangan yang dirancang dengan teliti di sebuah sekolah rendah swasta di Nashville kelmarin.

Ketua Polis John Drake berkata suspek dikenal pasti sebagai Audrey Hale, seorang lelaki transjantina yang berusia 28 tahun.

“Hale mempunyai peta sekolah, meninggalkan satu manifesto dan telah bersedia untuk konfrontasi dengan penguat kuasa undang-undang,” Drake memberitahu wartawan selepas insiden terbaharu keganasan senjata api yang mengejutkan Amerika Syarikat.

Bersenjatakan sekurang-kurangnya dua laras raifal serangan dan sepucuk pistol, Hale memasuki Christian Covenant School dari pintu masuk tepi dan melepaskan beberapa das tembakan sambil berjalan di sekitar bangunan itu, kata pihak polis.

Mereka menyatakan pihak berkuasa yang tiba di tempat kejadian dalam masa 15 minit selepas menerima panggilan kecemasan pada kira-kira jam 10 pagi waktu tempatan, berdepan dengan penembak yang membalas tembakan sebelum ditembak mati.

Pihak polis mengenal pasti enam mangsa, menyatakan salah seorang daripada tiga kanak-kanak berusia lapan tahun dan dua berusia sembilan tahun, sementara mangsa dewasa yang terkorban berusia 60 hingga 61 tahun.

Gambar di televisyen menunjukkan kanak-kanak berpegangan tangan ketika mereka dibawa keluar dari sekolah, dan sekeping gambar yang menyedihkan menunjukkan seorang kanak-kanak menangis di sebalik tingkap bas sekolah kuning yang bergerak meninggalkan tempat kejadian.

Avery Myrick berkata ibunya, seorang guru prasekolah, telah bersembunyi ketika tembakan kedengaran di dalam sekolah.

“Dia menyatakan dia telah bersembunyi di dalam almari dan terdapat tembakan di merata-rata tempat serta ada cubaan untuk masuk ke dalam biliknya,” Myrick memberitahu televisyen WSMV4, sebuah afiliat tempatan NBC.

“Ketika diberitahu melalui telefon bahawa ibu selamat ia memberikan satu perasaan sangat lega. Namun tetap masih terkesan dengan orang yang berada di luar sana yang mungkin tidak menerima panggilan sebegitu,” jelasnya.

Kejadian tembakan di sekolah semakin kerap dan membimbangkan di AS, di mana bilangan senjata api telah bertambah sejak beberapa tahun ini.

Presiden Joe Biden menyifatkan kejadian tembakan terkini sebagai “dahsyat” dan menyatakan keganasan senjata api telah menjejaskan “jiwa” di negara ini, ketika beliau menggesa Kongres agar meluluskan undang-undang untuk mengharamkan senjata serangan yang biasanya digunakan dalam kejadian tembakan beramai-ramai.

“Ia telah memusnahkan komuniti kita, meranapkan jiwa di negara ini, memusnahkan setiap jiwa di negara ini,” tegas beliau.

Seorang jurucakap jabatan bomba Nashville, Kendra Loney, berkata semua pelajar yang tidak tercedera telah diiringi keluar dari bangunan itu bersama-sama dengan pengajar dan kakitangan lain.

“Namun kami pasti bahawa mereka telah mendengar kekecohan yang berlaku di sekitar, maka kami mempunyai pakar kesihatan mental dan golongan profesional yang berada di kawasan pertemuan semula antara pelajar dan keluarga mereka,” jelasnya.

Covenant School merupakan sebuah institusi swasta Presbyterian dengan hanya lebih 200 pelajar pra sekolah hingga yang berusia 12 tahun.

Akhbar tempatan The Tennessean memetik jurucakap polis sebagai berkata Hale, bekas pelajar di sekolah tersebut, adalah seorang lelaki transjantina yang bekerja sebagai pelukis ilustrasi dan pereka grafik.

Ditanya sama ada kecelaruan jantina Hale mungkin merupakan satu faktor, Drake berkata: “Terdapat beberapa teori bagi perkara itu dan kami sedang menyiasat semua petunjuk.” — AFP

Advertisement