
LONDON: Antonio Conte mengucapkan terima kasih kepada peminat Tottenham Hotspur dan semua orang di kelab itu yang sudah berkongsi ‘minat’ bersamanya selepas pemergiannya dari pasukan Liga Perdana itu.
Lelaki Itali itu meninggalkan jawatannya sebagai pengurus Spurs “dengan persetujuan bersama” pada hari Ahad selepas membimbing skuad London Utara itu selama 16 bulan.
Pemergiannya diputuskan selepas jurulatih itu mengamuk berikutan perlawanan seri 3-3 di Southampton pada 18 Mac, perlawanan di mana Spurs mensia-siakan pendahuluan 3-1, dengan Conte menyelar pemain Spurs sebagai “mementingkan diri sendiri” dan tidak dapat beraksi di bawah tekanan.
Conte, 53, menulis di Instagram kelmarin: “Bola sepak ialah sebuah minat. Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua orang di Spurs yang menghargai dan berkongsi minat saya dan cara saya dalam bola sepak sebagai jurulatih.
“Ucapan istimewa kepada peminat yang sentiasa menunjukkan sokongan dan penghargaan kepada saya, saya tidak dapat dilupakan mendengar mereka menyanyikan nama saya. Perjalanan kita bersama telah berakhir, saya doakan yang terbaik untuk masa hadapan semua.”
Conte, yang mengambil alih tugas pada November 2021, akan digantikan oleh pembantunya, Cristian Stellini sehingga akhir musim ini.
Pemergian Conte dibuat semasa Spurs duduk di tempat keempat dalam Liga Perdana, berkelebihan hanya dua mata kepada Newcastle yang berada di tempat kelima, yang mempunyai dua perlawanan dalam tangan dalam perebutan slot kelayakan Liga Juara-Juara.
Stellini pernah menggantikan Conte musim ini apabila pengurus itu menjalani pemulihan daripada pembedahan pundi hempedu.
Sebelum ini, Conte memenangi gelaran liga dalam tempoh tiga tahun menguruskan kelab Juventus, Chelsea dan Inter Milan, namun tidak dapat menamatkan penantian 15 tahun Tottenham untuk memenangi trofi utama.
Kontraknya akan tamat pada penghujung musim ini.
Selepas perlawanan Southampton, Conte turut menyelar kemarau trofi Tottenham yang lama dan mempersalahkan budaya kerap menukar pengurus.
Pengerusi Spurs, Daniel Levy, bagaimanapun berkata Ahad: “Kita semua perlu bersatu. Semua orang perlu berusaha lagi bagi memastikan penamat yang terbaik untuk kelab kita dan penyokong setia kita.”
Tetapi satu kumpulan peminat, Tottenham Hotspur Supporters’ Trust (THST) menggesa lembaga pengarah supaya telus mengenai strategi mereka berikutan pertukaran pengurus kelab dalam empat musim berturut-turut.
“Pemergian ini tidak akan mengejutkan peminat Spurs,” kata satu kenyataan Supporters’ Trust.
“Lembaga kelab kini mesti mempunyai strategi yang jelas untuk apa dan siapa yang mendatang dan ia perlu memberitahu penyokong kelab ini apakah rancangan itu. THST berulang kali telah menyeru agar perkara ini dijelaskan dan peminat berhak mengetahuinya.” — AFP