Anda di sini

Berkelakuan tidak terkawal di tempat awam, Wong mengaku tidak bersalah

Advertisement
 

KUCHING: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padungan Wong King Wei mengaku tidak bersalah apabila didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan berkelakuan tidak terkawal di tempat awam dengan membunyikan hon kereta untuk mengganggu kenalan wanitanya.

Peguam berusia 42 tahun itu membuat pengakuan tersebut sebaik pertuduhan di bawah Seksyen 28 Ordinan Kesalahan-Kesalahan Kecil Sarawak 1958 dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah.

Sekyen berkenaan boleh membawa hukuman penjara 14 hari dan denda RM1,000, jika sabit kesalahan.

Majistret Zaiton Anuar memerintahkan Wong diberikan ikat jamin RM1,000 berserta seorang penjamin tempatan, selain menetapkan pengurusan kes pada 10 Mei 2023. 

Berdasarkan pertuduhan, Wong didakwa telah berkelakuan tidak tidak terkawal di tempat awam dengan membunyikan hon kereta untuk mengganggu pengadu iaitu mangsa wanita berusia 40 tahun.

Kesalahan itu didakwa dilakukan Wong sekitar jam 11.57 tengah malam di sebuah rumah di Batu 5, Jalan Semeba di sini pada 16 Februari lalu.

Difahamkan, Wong dan mangsa merupakan kenalan serta terdapat salah faham antara mereka sehingga membawa kepada kejadian tersebut.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang, sementara Wong mewakili dirinya sendiri bagi kes ini. 

Advertisement