
TAMBUNAN: Usaha warga Sekolah Kebangsaan (SK) Ragkam di sini yang tampil dengan aktiviti tamu bagi menyahut saranan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menjadi platform bermanfaat kepada murid di sekolah berkenaan.
Guru Penolong Kanan Kokurikulum SK Ragkam yang juga Penyelaras Program Ian Junil berkata, idea untuk melaksanakan aktiviti jualan tamu semasa minggu pertama persekolahan pada 23 Mac lepas adalah hasil muafakat para guru SK Ragkam.
Katanya, aktiviti berkenaan dijalankan berdasarkan saranan KPM mengikut kesesuaian sekolah dan ia juga selaras dengan kemahiran keusahawanan subjek Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) yang melibatkan aspek bahasa, matematik dan nilai murni.
Menurutnya, sebelum aktiviti tamu diadakan, ia terlebih dahulu dirancang secara rapi serta dimesyuaratkan bersama ibu bapa bagi mengelakkan salah faham khususnya kepada pihak ibu bapa.

"Para pembelinya dihadkan hanya kepada guru-guru dan staf sokongan sahaja tanpa melibatkan ibu bapa atau orang luar untuk datang membeli.
"Seramai 16 guru serta staf sokongan bersama 57 murid keseluruhannya terlibat dengan aktiviti tamu ini.
"Selain bertujuan memberi pengalaman kepada murid, ia juga membantu merealisasikan kemahiran yang dipelajari secara teori kepada pengalaman sebenar.
"Selepas selesai aktiviti tamu ini, pihak sekolah turut mengadakan sesi post mortem jualan mengikut kumpulan dan kita turut mendapati sambutan yang sangat baik dalam kalangan murid kerana mereka diberi peluang untuk menjual," katanya kepada Utusan Borneo.

Beliau berkata, sambutan para ibu bapa juga sangat baik dan sebelum aktiviti tamu, pihak sekolah turut mengadakan sesi libat urus dengan ibu bapa.
Menurutnya, sesi libat urus itu bagi membincangkan jenis atau bilangan jualan, objektif aktiviti dan kesan yang akan diperoleh pihak sekolah sama ada positif atau negatif selepas tamu berkenaan.

"Jualan tamu melibatkan pelbagai jenis sayur-sayuran yang dibawa murid hasil tanaman ibu bapa masing-masing.
"Apa yang menguntungkan pembeli yang juga pihak sekolah, mereka berpeluang mendapat sayuran dari 'peti sejuk' semula jadi iaitu hutan," katanya.
Selain itu jelasnya, ini adalah kali pertama aktiviti seumpama itu dianjurkan pihak SK Ragkam Tambunan dan hasil jualan akan digunakan untuk tabung pelajar masing-masing.

Sementara itu, Guru Besar SK Ragkam Hilda Gandial berkata, secara umumnya, para murid dapat mengaplikasikan kemahiran yang dipelajari dalam keadaan sebenar menerusi aktiviti tamu itu.
Menurutnya, aktiviti tamu seperti itu dianggap unik sedikit kerana para guru dan staf sokongan wajib menyoal pelajar berkaitan jualan mereka sebelum membeli.
"Dengan adanya aktiviti ini, ia mendorong memotivasikan murid untuk kembali bersekolah setelah lama bercuti.
"Pada masa sama, para pembeli dapat merasa hasil alam semula jadi tanpa racun atau baja kimia sekali gus menjadi faktor utama kepada aspek kesihatan seperti awet muda," katanya.
Beliau berkata, pihak sekolah turut merancang untuk meneruskan aktiviti tamu dengan mengikut kesesuaian keadaan semasa.