Anda di sini

SFC rancang tambah Pusat Santuari Buaya di Sarawak: Len

Advertisement
Len Talif pada sidang media majlis penyerahan sumbangan kepada penduduk di kawasan Tanjung Manis oleh PUSAKA, hari ini. - Gambar Muhammad Rais Sanusi
Len Talif pada sidang media majlis penyerahan sumbangan kepada penduduk di kawasan Tanjung Manis oleh PUSAKA, hari ini. - Gambar Muhammad Rais Sanusi

KUCHING: Kerajaan Sarawak menerusi Sarawak Forestry Corporation (SFC) merancang untuk menambah lebih banyak Pusat Santuari Buaya di negeri ini.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh berkata, ia ekoran jumlah populasi buaya yang semakin meningkat.

Menurutnya, penambahan Pusat Santuari Buaya itu dilaksanakan khas untuk buaya-buaya liar di negeri ini.

“Tiap-tiap bahagian atau sungai akan kita sediakan Pusat Santuari Buaya ini supaya kawasan berkenaan luar dari kawasan orang awam. 

“Kita sudah kenal pasti sungai-sungai ini supaya buaya yang kita alih (pindahkan) di tempat ini nanti tidak akan membahayakan populasi penduduk,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media majlis penyerahan sumbangan kepada penduduk di kawasan Tanjung Manis oleh Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) di Tingkat 15 di Wisma Sumber Alam di sini, hari ini.

Biarpun tidak mempunyai data terperinci jumlah Pusat Santuari Buaya di Sarawak pada masa ini, namun Len Talif yang merupakan ahli Lembaga Pengarah SFC percaya negeri ini memiliki banyak pusat tersebut.

“Misalan di kawasan saya sendiri di Sarikei, jumlah buaya di sana semakin bertambah sepanjang tahun,” ujarnya.

Sebab itu juga katanya, banyak program pendidikan turut diadakan oleh SFC supaya konflik antara manusia dan buaya dapat dielakkan.

“Kita mahu mengurangkan jumlah risiko kejadian ini, jadi pendidikan adalah aspek penting untuk program ini berjaya.

“Maklumlah, kita di Sarawak ini masih menggunakan sungai sebagai sumber pendapatan dan kehidupan kita, maka menjadi kewajipan untuk rakyat memahami secara mendalam tentang tabiat dan habitat buaya bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku,” jelasnya.

Sementara itu, Len Talif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang mendedahkan setakat ini hampir 100 permit telah dikeluarkan oleh kerajaan Sarawak untuk memburu dan memusnahkan buaya bagi menangani konflik manusia dan hidupan liar itu.

“Apatah lagi, Sarawak telah menurunkan Lampiran Satu kepada Lampiran Dua Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Fauna dan Flora Liar Terancam (CITES) pada 2016.

“Susulan itu, SFC telah memperkenalkan Pelan Pengurusan Buaya pada 2016 di mana ia membenarkan pengeluaran permit untuk memburu dan memusnahkan buaya serta menceburi industri kulit dan daging buaya.

“Bagaimanapun, jumlah yang memburu dan memusnahkan buaya ini agak sedikit,” ujarnya.

Advertisement