Anda di sini

Peniaga dalam dilema letak harga kek lapis

Advertisement

Peniaga mengeluh dengan kenaikan harga bahan kek lapis seperti telur, marjerin, mentega dan lain-lain 

 Kek lapis Rainbow Cheese antara yang paling laris ketika musim perayaan. 
PILIHAN RAMAI: Kek lapis Rainbow Cheese antara yang paling laris ketika musim perayaan. 

“Kebiasaannya kek lapis Rainbow Cheese merupakan antara kek yang terlaris, dijual pada tahun lepas dengan harga RM120 bagi seloyang saiz 9x9 inci.” 

Beryln Bernie Ajuk
Pemilik Olieyns Dlicious Homemade Cakes & Cookies 

Oleh Marlinda Mardzuki

KUCHING: Terkesan dengan kenaikan harga barang ramuan untuk membuat kek lapis menyebabkan ramai peniaga yang menjual pemanis mulut warisan Sarawak itu berada dalam dilema untuk meletakkan harga berpatutan menjelang Aidilfitri ini.

Tinjauan Utusan Borneo semalam mendapati rata-rata peniaga mengeluh dengan kenaikan harga bahan asas membuat kek lapis seperti telur, marjerin, mentega dan lain-lain yang naik secara mendadak.

Pemilik Olieyns Dlicious Homemade Cakes & Cookies Beryln Bernie Ajuk, 35, berkata, faktor harga bahan yang naik mendadak menyebabkan dia tiada pilihan untuk turut menaikkan harga jualan kek lapisnya.

BERYLIN
BERYLIN

“Kebiasaannya kek lapis Rainbow Cheese merupakan antara kek yang terlaris, dijual pada tahun lepas dengan harga RM120 bagi seloyang saiz 9x9 inci.

“Namun saya terpaksa menaikkan harga kepada RM140 akibat harga barang mentah yang semakin mahal,” katanya yang sudah berkecimpung dalam perniagaan ini sejak 2014.

Jelasnya, antara bahan yang meningkat mendadak adalah mentega yang kini berharga dalam lingkungan RM12 ke atas mengikut jenama dan telur yang berharga mencecah hampir RM20 sepapan untuk saiz besar.

 Antara kek lapis Sarawak daripada Olieyns Dlicious Homemade Cakes & Cookies oleh Beryln.
LAPIS: Antara kek lapis Sarawak daripada Olieyns Dlicious Homemade Cakes & Cookies oleh Beryln.

“Memang saya rasa sangat terbeban juga dengan kenaikan harga barang. 

“Disebabkan saya naikkan harga jualan, ia menjejaskan tempahan yang turut berkurang tidak seperti sebelumnya.

“Kalau saya kekalkan ke harga lama memang tidak dapat sebab 90 peratus harga bahan mentah naik dan akan menjejaskan periuk nasi saya,” ujarnya. 

 Kek Lapis India antara kek yang naik harga.
NAIK: Kek Lapis India antara kek yang naik harga.

Bagaimanapun, Berlyn tetap menyediakan stok kek lapis kerana tahu bahawa ramai pelanggan lebih suka berbelanja pada saat-saat akhir dan tempahan untuk Hari Raya Aidilfitri masih dibuka di Facebook Olieyns Dlicious Homemade Cakes & Cookies sehingga 31 Mac ini.

Bagi Zubaidah Sahadar, 58, yang turut menjual kek lapis sejak 1995 berkata dia sememangnya sudah menjangkakan kenaikan harga bahan mentah.

“Melihat harga bahan-bahan asas untuk membuat kek iaitu mentega dan telur naik secara mendadak pada masa kini, membuatkan saya terpaksa menjual kek lapis India dan Cadbury dengan harga RM250 seloyang. 

ZUBAIDAH
ZUBAIDAH

“Sebelum ini kek tersebut berharga RM200 seloyang untuk 8.5x8.5 inci. Ini kerana harga coklat Cadbury juga meningkat,” katanya yang mempunyai kedai di Medan Niaga Satok dengan rumah pengoperasian di Taman Mawar Gita.

Namun begitu, dia bersyukur kerana ramai pelanggannya masih membuat tempahan kerana rata-rata mereka mementingkan kualiti dan rasa kek yang dibuatnya.

Manakala seorang lagi pengusaha kek lapis, Hazalynna Hadzari cuba untuk mengekalkan harga yang sama seperti tahun lalu meskipun jelas terkesan dengan peningkatan harga bahan mentah tahun ini.

 Hazalynna menunjukkan pelbagai kek lapis yang dibuat di premisnya di Jalan Rubber Selatan. 
SIAP: Hazalynna menunjukkan pelbagai kek lapis yang dibuat di premisnya di Jalan Rubber Selatan. 

“Sudah tentu saya masih juga meraih untung walaupun sedikit kurang berbanding dahulu, asalkan pelanggan saya tidak terbeban dan gembira dengan harga yang saya tawarkan.

“Saya fikirkan untuk kekal dalam industri ini bagi jangka masa panjang dan harga yang saya letakkan ini masih berada dalam situasi menang-menang antara peniaga dan pelanggan,” katanya yang berniaga di bawah jenama Haza bersama ibunya sejak 2012 lagi.

Hazalynna memberitahu, mentega merupakan antara bahan yang paling mengalami peningkatan harga yang mendadak selepas mendapati sekotak mentega seberat 25 kilogram pada 2019 hanya berharga RM650 tetapi pada tahun ini meningkat kepada RM940.

“Setiap kali tiba musim perayaan, saya perlukan dalam lapan hingga ke 10 kotak mentega seberat 25 kilogram untuk menghasilkan 400 ke 500 kek lapis dan terpaksa meletakkan bajet yang lebih tinggi.

“Untuk satu kotak mentega seberat 25 kilogram saya dapat hasilkan 36 kek tanpa keju dan jika ada keju, saya dapat hasilkan sehingga 56 kek,” tambahnya yang pernah membuka kafe di Jalan Rubber Selatan di sini, tetapi terpaksa tutup pada tahun 2020 akibat pandemik COVID-19.

Ketika menjelang musim perayaan katanya, dia akan mendapat tempahan sebanyak 300 kek daripada pelanggan tetap selain turut menyediakan sebanyak 100 ke 200 kek tambahan untuk pelanggan yang datang ke kedainya.

“Semua kek variasi keju adalah paling mendapat sambutan dan yang peling banyak ditempah adalah kek lapis jenis coklat keju strawberry dan Himalaya Cadbury,” ujarnya.

Advertisement