Anda di sini

Lelaki dilanggar semasa keluar dari kenderaan di kawasan gelap

Advertisement
 Pasukan Bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang terperosok di bahagian bawah kenderaan sedan.
TERPEROSOK: Pasukan Bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang terperosok di bahagian bawah kenderaan sedan.

TENOM: Seorang lelaki maut dilanggar sebuah kenderaan selepas dipercayai keluar dari keretanya di kawasan gelap di kilometer 9, Jalan Sapong – Kemabong di sini.

Ketua Polis Daerah Tenom Deputi Superintendan Hasan Majid berkata kejadian kira-kira jam 12.20 tengah malam itu membabitkan mangsa berumur 55 tahun.

“Kemalangan berlaku apabila seorang lelaki berumur 40 tahun memandu kenderaan sedan dari arah Kemabong menuju ke Pekan Tenom.

“Dalam masa sama, mangsa yang memandu kereta pacuan empat roda keluar dari keretanya dan berada di lorong sebelah kanan ketika menaiki bukit,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata pemandu kenderaan sedan itu memotong kenderaan mangsa dari arah belakang dan keadaan persekitaran jalan pada waktu itu adalah gelap.

“Pemandu kenderaan sedan terbabit kemudian merasakan terlanggar sesuatu objek (mangsa) menyebabkan keretanya menjadi berat semasa mendaki bukit. 

“Selepas itu, pemandu berkenaan berhenti dan keluar dari keretanya untuk memeriksa sebelum mendapati seorang lelaki terperosok di bawah kenderaannya,” katanya.

Hasan berkata mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian badan kemudian dikeluarkan oleh pihak bomba sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan.

Katanya siasatan lanjut berhubung kejadian itu masih dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • oleh
  • Advertisement