Anda di sini

KDN digesa selesaikan isu kewarganegaraan di Sabah

Advertisement
SUHAIMI
SUHAIMI

SANDAKAN: Kementerian Dalam Negeri (KDN) digesa supaya menyelesaikan proses permohonan kewarganegaraan bagi kanak-kanak tanpa kerakyatan di Sabah.

Ahli Parlimen Libaran Datuk Suhaimi Nasir berkata, isu permohonan kewarganegaraan bagi penduduk yang sudah lama bermastautin di negara ini juga perlu diselesaikan secepatnya.

Katanya, isu permohonan taraf kewarganegaraan yang masih dalam proses banyak berlaku di negeri ini terutamanya di kawasan Libaran seperti Kampung Pulau Nunuyan, Pulau Libaran dan Semawang.

“Kita dapati punca mereka tidak mendapat kewarganegaraan kerana kebanyakkan ibu bapa yang berkahwin dengan pasangan bukan warganegara.

“Lebih memburukkan keadaan, apabila kanak-kanak tersebut sudah dewasa tidak dapat membuat kad pengenalan disebabkan tiada rekod rawatan di klinik kerajaan semasa kelahiran mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan perbahasan di Peringkat Jawatankuasa KDN di Dewan Rakyat, kelmarin.

Suhaimi berkata, sebahagian kanak-kanak tersebut tidak mendapat rawatan kesihatan di klinik kerajaan disebabkan jarak rumah yang jauh dan memerlukan kos yang tinggi.

“Kanak-kanak ini juga sukar memasuki sekolah kerajaan ataupun terpaksa membayar mahal sekiranya mahu meneruskan persekolahan disebabkan tiada kad pengenalan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyambut baik peningkatan peruntukan pendaftaran negara daripada RM363.9 juta pada tahun 2022 kepada RM387.8 juta tahun ini.

Justeru, beliau mahukan KDN dapat mengatasi segera isu tersebut kerana perkara itu sudah berlanjutan sekian lama.

Sementara itu, Suhaimi turut membangkitkan isu bekalan air di pangsapuri Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sandakan yang terletak di Batu 4, Sandakan.

“Maklumat yang saya terima mengenai isu ini adalah paip air di perumahan tersebut telah berkarat dan ia juga boleh memudaratkan kesihatan penghuni.

“Perkara itu perlu diberi perhatian yang sewajarnya oleh kementerian supaya ia dapat diselesaikan dengan segera,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement