Anda di sini

21 peniaga bazar Ramadan gagal pakai apron, kuku panjang terima notis JKNS

Advertisement
 Rose Nani semasa bertemu dengan salah seorang peniaga di bazar Ramadan di sini.
BAZAR: Rose Nani semasa bertemu dengan salah seorang peniaga di bazar Ramadan di sini.
 Kod QR yang diperkenalkan oleh JKNS bagi membolehkan pengguna membuat aduan tentang isu kebersihan di bazar Ramadan.
ADUAN: Kod QR yang diperkenalkan oleh JKNS bagi membolehkan pengguna membuat aduan tentang isu kebersihan di bazar Ramadan.

KOTA KINABALU: 21 peniaga di bazar Ramadan sekitar negeri ini menerima notis daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) selepas gagal mematuhi tatacara pengendalian makanan dan kebersihan premis perniagaan ditetapkan.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata kesemua notis terbabit dikeluarkan sepanjang pelaksanaan Ops Ramadan 2023 yang dilancarkan di seluruh negeri bermula semalam.

“JKNS menggerakkan seramai 725 anggota kesihatan untuk memantau tahap kebersihan penyediaan makanan di bazar Ramadan seluruh negeri.

"Hasil Ops Ramadan 2023 yang dijalankan di lima daerah di Sabah iaitu Kota Kinabalu, Papar, Tawau, Kudat dan Sandakan berjaya memeriksa sejumlah 277 premis dan mengambil empat sampel makanan.

"Sepanjang pemeriksaan terbabit, JKNS mengeluarkan 21 notis mengikut Seksyen 32B Akta Makanan 1983,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menjalankan Ops Ramadan 2023 di bazar Ramadan Lintasan Deasoka bermula jam 4.30 petang tadi.

Bercakap lanjut mengenai Ops Ramadan terbabit, beliau berkata antara kesalahan yang dilakukan oleh peniaga yang diberikan notis termasuklah tidak memakai apron, berkuku panjang, tiada sijil kursus pengendali makanan, tiada suntikan vaksin tifoid, dan lain-lain pelanggaran yang boleh dikenakan kompaun.

“Sepanjang operasi ini juga, JKNS turut memperkenalkan penggunaan kod QR di bazar Ramadan bagi membolehkan pengunjung bazar menyalurkan aduan tentang isu kebersihan pengendalian makanan melalui medium ini.

"Selain daripada itu, aduan juga boleh ditujukan melalui aduan WhatsApp Sabah Healthline di talian 019-8602929 dan laman sesawang Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Orang awam diminta supaya bijak memilih makanan yang sihat dan premis makanan yang bersih," katanya.

Sementara itu katanya JKNS juga akan bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah bagi meningkatkan serta memperkukuh sistem pengawasan keselamatan makanan terutama di bazar Ramadan.

Katanya kedua-dua pihak akan melakukan mesyuarat bagi membincangkan kaedah untuk menambah baik sistem pengawasan keselamatan makanan di negeri ini.

“Kita mempunyai pasukan untuk menjaga kualiti serta keselamatan makanan dan pasukan ini bertanggungjawab melakukan pensampelan rawak termasuk ayam dan daging.

“Pasukan ini juga akan menguji makanan sekiranya mengandungi kandungan Salmonella yang boleh membawa penyakit dan persampelan ini akan dilakukan secara rutin,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditanya berkenaan kebimbangan pengguna berkenaan isu pewarna yang diletakkan secara berlebihan pada kepak ayam bakar dan ditularkan di media sosial baru-baru ini.

Rose Nani bagaimanapun berkata setakat ini pihaknya belum menerima sebarang keputusan rasmi berkenaan isu terbabit.

  • oleh
  • Advertisement