
- Permintaan tinggi industri elektronik pengguna, automotif semasa kemuncak pandemik, ketegangan geopolitik Ukraine-Rusia, pengenalan Akta Cip 2022.
Oleh Patricia Gari
KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata Sarawak terus membangun dan meneroka sektor semikonduktor serta pengeluaran cip.
Beliau berkata ini kerana wujud permintaan tinggi daripada industri elektronik pengguna dan automotif semasa kemuncak pandemik, ditambah dengan ketegangan geopolitik antara Ukraine dan Rusia, didorong pengenalan Akta Cip 2022.
Sarawak katanya, tidak seharusnya ketinggalan dan mesti sedar bahawa reka bentuk cip terus berkembang mengikut peredaran masa serta permintaan semasa.
"Kita (Sarawak) harus berada di landasan yang betul. Dengan pemikiran ini, langkah yang kami ambil melalui SMD Semiconductor Sdn Bhd dan kerjasama seperti ini perlu kerana mereka akan membangunkan bakat, menyediakan pekerjaan bergaji tinggi untuk penduduk tempatan serta membolehkan pemindahan pengetahuan antara rakan kongsi.
"Ini penting bagi memupuk strategi penyelidikan dan pembangunan yang mantap," katanya ketika berucap pada Majlis Pertukaran Rangka Kerja Perjanjian Perkhidmatan (FSA) antara SMD Semiconductor Sdn Bhd dan X-Fab Global Services di Pejabat Premier Sarawak, Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.
Sarawak juga bermatlamat meningkatkan pertumbuhan produktiviti buruh, sumbangan sektor pembuatan kepada ekonomi, kapasiti inovasi dan pekerjaan berkemahiran tinggi dengan menubuhkan 'rumah reka bentuk' cip semikonduktor berteknologi tinggi yang memberi tumpuan kepada mereka bentuk dan mengkomersialkan produk IC menerusi kerjasama pemain utama.
"Projek Autonomous Rapid Transit yang sedang berjalan adalah satu contoh sempurna mengapa operasi teknologi reka bentuk cip perlu dijalankan di negeri ini, kerana ini akan menambah keperluan untuk bergantung sepenuhnya kepada kepakaran asing dalam jangka masa panjang.
"Selain daripada kerjasama ini, saya juga mengalu-alukan X-FAB Global Services (Jerman) untuk bekerjasama dengan institusi teknikal dan universiti di Sarawak untuk membentuk kurikulum baharu dalam semikonduktor untuk siswazah, dan pensijilan industri bagi membolehkan graduan muda kita memperoleh kemahiran yang diperlukan untuk menjadi pakar semikonduktor," ujarnya.
Mengulas lanjut mengenai majlis itu Abang Johari berkata, ia merupakan satu lagi pemeteraian kontrak penting antara SMD Semiconductor dan X-FAB Global Services (Jerman).
Ia ujarnya, sudah tentu menunjukkan Sarawak amat serius untuk menyelesaikan kerja dengan pantas dan cekap.
"X-FAB telah menjadi pemain global di Sarawak selama bertahun-tahun, menghasilkan semikonduktor dan saya gembira kerana mereka mengembangkan operasi mereka di Sarawak, bekerja bersama SMD Semiconductor, sebuah syarikat milik Kerajaan Sarawak.
"Dalam senario ekonomi dan geopolitik yang sentiasa berubah, adalah penting untuk kita bekerjasama rapat ke arah memajukan lagi ekonomi negeri Sarawak khasnya melalui pelbagai inisiatif dan meneruskan transformasi digital dalam usaha membawa impak di peringkat tempatan dan global," tambahnya.
Hadir sama pada majlis itu, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Roland Sagah Wee Inn, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Dr Annuar Rapaee, Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar, Pengerusi X-Fab Silicon Founderies Datuk Amar Dr Hamid Bugo dan Pengarah SMD Semiconductor Sdn Bhd Dr Peter Morin Nissom.