
Oleh: Radzemah Bolhassan
“KALAU puasa, ada bubur pedas. Kalau bubur pedas ada, puasalah tu,” seloroh Mak Uteh.
Kedengaran beberapa orang jemaah mula mengulas tentang aktiviti Ramadan setelah mendengar seloroh Mak Uteh.
“Asal jangan gaduh. Macam tahun lepas. Kerana bubur pedas, 1 Syawal tak bertegur,” bidas Mak Siot.
Jemaah wanita yang sedang duduk berborak selepas selesai jamuan di Masjid Nur Permai terdiam. Wajah beberapa orang jemaah mula keruh. Berpandangan. Ada tertunduk. Malu mengenang peristiwa tahun lepas.
“Tak tahu nak cakap apa …,” tambah Mak Uteh.
“Alahai bubur pedas. Letih dimasak dalam kuantiti banyak. Bukan senang juga nak potong pelbagai jenis sayur. Bumbunya pula mesti yang asli. Susah nak cari yang sedap. Tup-tup tiba masa beramal, kita berlawan pula. Akhirnya bermasam muka. Memang pedas sungguhlah bubur pedas tu,” celah Kak Mawar.
Panjang lebar hujahnya. Bukan sekadar suka-suka tetapi juga sebagai peringatan. Janganlah ia berulang. Malu setaman dan keluarga. Sampai sekarang mereka yang bertelagah hanya kerana bubur pedas masih menyepi tanpa berita. Bukan tiga hari malah makan tahun.
Kacang panjang, kobis, pucuk nenas, lamiding, pucuk paku, lobak, kulat, kekacang, udang dan isi ayam selesai dipotong halus. Santan segar sudah sedia di atas meja. Bumbu bubur pedas pun telah dibancuh.
Tiga buah periuk besar berisi minyak untuk menumis sudah pun panas. Hanya menanti hirisan bawang dan rempah tiga beradik dimasukkan. Riuh-rendah suara kaum ibu yang rata-rata melepasi usia berpencen berkumpul untuk sama-sama memasak bubur pedas. Tujuan kariah mereka untuk disedekahkan kepada masyarakat setempat ketika berbuka puasa di awal Ramadan.
Gelak tawa sedari pagi sangat memeriahkan suasana. Sehingga urusan memotong semua bahan memasak bubur pedas selesai dengan singkat. Tiada istilah letih kerana saling tolong-menolong.
Ketika hirisan bawang dan rempah tiga beradik hendak dimasukkan ke dalam tiga buah periuk secara serentak maka bermulalah perbalahan pendapat.
Yati, anak Mak Siot yang paling muda di situ turut membantu. Rezekinya dapat bercuti awal Ramadan.
Soal Yati, “Lepas ni nak masuk apa?”
Mak Tim pun menyahut, “Semua bahan kisar.”
Kesemua bahan sudah dibahagi tiga untuk dimasukkan ke dalam tiga buah periuk. Jadi semua urusan pembahagian tidak menjadi masalah.
Ketika itu Mak Lela pun mengerut dahi sambil berbisik, “Apa hal dia pula nak bagi arahan.”
Bisikan itu tidaklah kedengaran tetapi jelas di wajahnya mencemuh arahan Mak Tim. Tambahan pula rakan Mak Lela di sebelah, Mak Uda semacam mengangguk untuk mengukuhkan fakta.
Arahan itu tidak dibantah. Semua bahan kisar dimasukkan ke dalam periuk. Maka sibuklah dua orang yang ditugaskan bagi setiap periuk mengacaunya agar tidak hangus.
Setelah baunya wangi, sekali lagi Yati bertanya dengan suara nyaring, “Masuk apa lagi?”
Mak Tim mengarah lagi, “Masukkan ayam kemudian udang!”
Mak Lela merengus sendiri. Kali ini wajahnya jelas mengejek. Mak Uda ketawa. Peristiwa itu nampaknya belum lagi disedari oleh kesemua mereka yang ada di situ. Masing-masing sibuk berbual. Riuh-rendah.
“O ketua! Ketua kita mana?” soal Mak Lela.
Mak Uda menambah, “Yang pakarlah patut bagi arahan.”
Mak Tim mula menahan amarah. Namun dia tidak mahu mengalah. Bubur pedas makanan tradisi. Sesiapa pun pandai memasaknya. Tidak usah dipanggil ketua, semua orang layak untuk memberi arahan.
“Lepas ni masukkan udang, kemudian bumbunya!” arah Mak Tim.
Arahan itu sengaja dikeraskan nada suaranya. Malah wajah Mak Lela direnung dengan tajam. Ekoran reaksi itulah mereka berdua nampaknya semakin jelas bermasam muka. Rakan-rakan yang ada mula menyedari pertelingkahan itu kerana mendengar bebelan daripada Mak Lela.
Katanya, “Kalau akulah, bumbu ni akhir sekali. Kalau dimasukkan awal, nanti mudah hangus.”
“Eh, akukan chief. Ikutlah arahan!” bidas Mak Tim.
Mereka yang ada saling berpandangan. Sebelum ini tidak ada timbul soal ketua dan sebagainya. Apa yang difahami mereka beramai-ramai dijemput memasak secara sukarela. Kerja amal dalam bulan Ramadan.
Yati tidak lagi berani bertanya. Sekadar menunggu arahan sambil tangannya tidak berhenti mengacau. Tambahan pula Mak Siot sudah mendekat ketika menyedari ada perbalahan berlaku. Semuanya ekoran daripada pertanyaan Yati.
Yati mengeluh berat. 1 Ramadan kali ini sudah melalui peristiwa pahit. Langsung tidak berbaloi dengan letih menahan lapar dan dahaga. Mahu sahaja Yati menyuarakan sesuatu agar perbalahan tidak berlarutan tetapi takut dimarahi emaknya.
“Masukkan bumbu!” arah Mak Tim.
“Masukkan air!” arah Mak Lela.
Arahan itu kedengaran serentak. Mereka di situ menjadi serba salah. Arahan mana yang patut diikut. Apa yang pasti, rata-rata langsung tidak pernah terfikir untuk menjadikan cara memasak bubur pedas ini sebagai konflik. Namanya sahaja bubur maka masuklah apa-apa pun asalkan cukup ramuan.

Cumanya untuk bubur pedas kali ini pedas sifatnya. Pedas telinga, pedas hati, pedas rasa. Semuanya kerana tidak mahu mengalah. Perbalahan yang iblis perjuangkan. Biar berpecah. Kalah semuanya. Menang tidak mungkin ada.
Mak Siot mengikut arahan Mak Tim. Separa berbisik kepada Yati untuk memasukkan air ke dalam periuk jagaannya. Kemudian periuk ketiga mengikut tindakan Yati. Mak Tim dan Mak Lela membisu seribu bahasa.
Amarah jelas kelihatan. Senyum manis hilang terbang bak kabu-kabu di awangan. Tidak mungkin dapat dicapai. Setelah situasi itu berlaku, Mak Lela menghempas bekas air dengan kasar. Protes. Mak Tim mengikut jejak Mak Lela dengan menghempas senduk besar yang ada di dalam periuk. Kemudian kedua-dua mereka pun berlalu.
Khabarnya Mak Tim mengikut anaknya berpindah ke Kuching selepas lebaran. Mak Lela pula asyik balik ke kampung. Tidak nampak lagi batang hidungnya berjemaah di Masjid Nur Permai.
“Alah, itu peristiwa tahun lepas,” seloroh Mak Siot.
Tiba-tiba wajah Yati muncul di balik pintu. Mak Siot terkejut. Hatinya girang. Tidak sangka Yati balik berpuasa bersama lagi tahun ini.
Yati menyalami emaknya dan kemudian semua kariah wanita Masjid Nur Permai. Gembira menyambut kehadiran Yati. Pasti tenaga Yati sangat diperlukan untuk meringankan tugas memasak bubur pedas esok hari.
“Tiba-tiba muncul. Tak cakap pun nak balik,” ujar Mak Siot.
Yati tersenyum. Kemudian matanya melilau-lilau di sekeliling. Wajah yang dia cari tiada. Hampa. Sedangkan apa yang dia tahu, Mak Tim sudah balik dari Kuching. Khabarnya tidak lagi mengikut anaknya. Manakala Mak Lela tidak lagi ulang-alik ke kampung kerana faktor usia.
Jelas Mak Siot, “Tak pernah sekalipun lagi Mak Tim datang berjemaah semenjak balik minggu lepas. Mak Lela memang tak larat dah.”
“Yati nak jumpa merekalah, mak,” ujar Yati.
“Jumpa boleh jumpa tapi tak usah cakap apa-apa. Hal tu dah tak jadi isu pun,” nasihat Mak Siot.
“Tapi mereka tak mesra kerana dah tak berjumpa,” jelas Yati.
“Alah, asal tak gaduh,” ulas Mak Siot.
Yati merengus dalam diri. Wajah Mak Siot ditatapnya.
“Kau jangan nak buat hal. Jangan sampai bubur pedas jadi menu larangan setiap kali Ramadan,” ugut Mak Siot.
Yati sekadar ketawa geli hati.
Setiba mereka di rumah, Mak Siot tercium aroma bubur pedas. Wajah Yati dipandangnya lantas bertanya, “Kau masak?”
Yati mengangguk.
“Bila?” soalnya lagi.
“Sebelum ke masjid tadi,” jawab Yati
Di atas meja sudah tersedia dua buah mangkuk berbungkus. Mak Siot pasti bungkusan mangkuk tersebut untuk diberi kepada orang. Mak Siot dapat mengagak siapakah mereka itu. Tetapi Mak Siot tidak mahu bertanya.
Selepas membuka telekungnya, Mak Siot pun makan bubur pedas masakan Yati. Saat itulah Yati pun menghilang entah ke mana.
********
JAM 9:00 pagi Masjid Nur Permai sudah riuh-rendah. Suara para kariah tidak berhenti bicara pelbagai isu 1 Ramadan.
“Yatinya mana?” soal Mak Uteh.
“Entah. Awal pagi dah hilang,” jawab Mak Siot.
Tidak lama kemudian kelihatan kereta Yati masuk ke pekarangan masjid. Mak Siot menanti Yati keluar dari kereta tetapi hampa. Entah apa yang Yati buat duduk berlama di situ. Hatinya mula tidak keruan.
“Senyumlah Mak Tim. Mak Lela. Kan semalam Yati dah cakap, selepas Mak Tim dan Mak Lela pergi hari tu, saya bubuh mengikut apa yang saya rasa. Periuk sebelah pun ikut suka hati. Bila dah masak, rasanya sama. Sedap. Kerana ramuannya sama. Macam bubur pedas yang saya hantar semalam. Saya masukkan sekali gus ke dalam periuk,” jelas Yati.
Perkara itu sudah dijelaskannya semalam di rumah Mak Tim dan juga Mak Lela. Dengan harapan kedua-dua sahabat emaknya itu kembali menjalinkan ukhuwah.
Mereka berdua masih membisu. Yati terus memujuk rayu dengan pelbagai cara. Sehinggalah Yati menyanyi senyumlah, senyumlah. Mak Tim rasa malu sendiri lantas mencubit Yati yang berada di sebelahnya. Mak Lela yang duduk di belakang sedari tadi tidak bersuara.
Tiba-tiba Mak Tim berkata, “Kami mana ada gaduh. Itu hanya dakwaan. Kan, La?”
“Betul,” jawab Mak Lela pantas.
Saat itulah Mak Siot dan beberapa orang mendekat dan membuka pintu kereta Yati. Alangkah terkejutnya mereka apabila melihat ada Mak Tim dan Mak Lela. Yati pantas keluar. Mereka yang ada turut menarik tangan Mak Tim dan Mak Lela. Mereka berpelukan.
“Kami tak gaduh. Kami tak gaduh,” jawab Mak Tim.
Mak Lela terus memeluk tubuh kurus Mak Tim. Erat. Air mata berlinangan. Dalam hati terdetik, syukurlah masih ada waktu untuk memohon maaf dan mengerat ukhuwah yang renggang.
Yati semakin nakal dengan menarik tangan Mak Tim dan Mak Lela mendekati periuk. Kemudian senduk besar diberi kepada Mak Tim dan Mak Lela seorang satu. Tanpa menunggu arahan, mereka pun mengacau bubur pedas yang masih belum selesai dimasak.
Yati kemudian sengaja membiarkan air mendidih lama sebelum memasukkan semua kekacang yang ada. Tidak lama selepas itu Yati masukkan pula semua sayur-sayuran. Akhir sekali baharulah bumbu bubur pedas. Mak Tim tidak bercakap apa-apa selain hanya mengacau tanpa henti.
Periuk di hadapan Mak Lela seawal tadi dimasukkan bumbu. Setelah pekat baharulah dimasukkan air dan kekacang. Kemudian dimasukkan pula sayur-sayuran. Tidak ada sesiapa yang membantah sebaliknya tawa ceria menghiasi ruang udara di Masjid Nur Permai.
Kariah lelaki mula datang untuk membantu apa yang wajar. Bubur pedas yang hampir masak perlu dibawa masuk ke ruang beranda. Urusan itu perlu dilakukan oleh tenaga lelaki. Kemudian mereka akan mengagihkan bubur pedas ke dalam beberapa besen agar mudah untuk para wanita memasukkan bubur pedas ke dalam bekas.
Kelihatan Mak Leha dan Mak Tim duduk bersebelahan sambil menyenduk bubur pedas ke dalam bekas. Mereka berdua berbual-bual mesra tanpa mempedulikan orang lain.
Yati memandang wajah emaknya. Emaknya membalas dengan bangga. Anaknya Yati berjaya memaknakan bubur pedas dalam tindakannya. Selain itu, bicara Yati ketika sahur tadinya turut terngiang-ngiang.
“Hidup menjadi sulit kerana peraturan manusia itu sendiri. Perkara remeh boleh meletuskan perang. Maka elakkan provokasi kerana ia dapat memanaskan lagi rasa dengki dan egois manusia.”
Mak Siot mengangguk berkali-kali. Dalam hatinya berkata, “Kalau semua generasi muda seperti Yati, banyak masalah dapat diselesaikan.”

