Anda di sini

SICC rangkul dua anugerah Brandlaureate

Advertisement
 Rosmawati (tengah) mewakili SICC menerima anugerah Brandlaureate.
ANUGERAH: Rosmawati (tengah) mewakili SICC menerima anugerah Brandlaureate.

KOTA KINABALU: Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) berjaya merangkul dua anugerah berprestij Brandlaureate di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dua anugerah itu ialah The BrandLaureate Sustainable Business dan Brands Inspirational Achievement Awards 2022-2023 bagi kategori Perkhidmatan - Pusat Konvensyen Pelbagai Fungsi.

Kedua-dua anugerah tersebut disampaikan kepada Ketua Pegawai Eksekutif SICC, Datuk Rosmawati Lasuki sebagai mengiktiraf peranan beliau membantu meningkatkan industri pelancongan negeri dan mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat Sabah.

Anugerah itu adalah inisiatif Yayasan Jenama Dunia (TWBF) yang ditubuhkan pada tahun 2005 iaitu satu-satunya asas penjenamaan dunia yang khusus untuk membangunkan jenama dalam pelbagai latar belakang perniagaan.

Pemenang dinilai oleh Jawatankuasa Jenama berdasarkan kriteria termasuklah strategi, budaya, maklumat, prestasi dan komunikasi.

Rosmawati berkata, penganugerahan itu satu pengiktirafan yang menjadi pemangkin untuk pihaknya terus komited menyediakan perkhidmatan terbaik bukan sahaja di peringkat tempatan, namun antarabangsa.

Katanya, SICC dibuka pada Febuari 2020, namun ditutup pada bulan berikutnya dan terpaksa mencari cara yang inovatif untuk mengekalkan pusat konvensyen serta pekerja di sini.

“SICC memiliki pelbagai fungsi serta kompleks dan ia bukan hanya dijadikan tempat mengadakan pameran dan konvensyen, malah pelbagai acara boleh dibuat di setiap sisi bangunan ini.

“Kami menjemput semua industri untuk merasai layanan di SICC dan ketika ini sambutannya sangat menggalakkan daripada orang ramai,” katanya dalam kenyataan media, di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, SICC turut menerokai peluang serta platform baharu secara agresif bagi mempromosikan Sabah Borneo sebagai detinasi Acara Permiagaan (BE) terkini.

“SICC juga telah bekerjasama dengan pelbagai industri termasuk kerajaan pusat dan negeri, persatuan, hotel, ejen pelancongan dan banyak lagi bagi mengukuhkan pusat ini di peringkat global.

“Dengan adanya perkongsian strategik dan anugerah ini, sudah pasti kami akan meningkatkan lagi mutu perkhidmatan di SICC,”katanya.

Sementara itu, SICC juga telah diberikan Anugerah MICE ASEAN 2023-2025 kategori tempat pameran oleh Anugerah Pelancongan ASEAN.

Majlis anugerah itu akan disampaikan sempena Forum Pelancongan ASEAN yang diadakan di Yogyakarta, Indonesia pada 5 Febuari tahun hadapan.

  • oleh
  • Advertisement