Anda di sini

Kerajaan persekutuan dan negeri terus perkukuh kerjasama

Advertisement
 Ewon (tengah) memotong reben sebagai simbolik perasmian Pusat Produk IKS Mart Koperasi Usahaniaga Kota Marudu Berhad.
RASMI: Ewon (tengah) memotong reben sebagai simbolik perasmian Pusat Produk IKS Mart Koperasi Usahaniaga Kota Marudu Berhad.

KOTA MARUDU: Kerajaan Persekutuan dan negeri akan terus memperkukuhkan kerjasama bagi melaksanakan pelbagai program pembangunan keusahawanan di seluruh negara.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, ia selaras dengan agenda utama kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membangunkan Malaysia Madani.

“Program keusahawanan yang dilaksanakan agensi-agensi kerajaan persekutuan di Sabah pada hari ini dengan kerjasama agensi kerajaan negeri membuktikan komitmen besar kerajaan membantu usahawan termasuk di kawasan luar bandar.

“Tahniah kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) satu daripada agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) di bawah Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah atas kerjasama cemerlang menjayakan program ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pusat Produk IKS Mart Koperasi Usahaniaga Kota Marudu Berhad, di Medan Marudu, di sini hari ini.

Ewon turut menyarankan kepada semua koperasi khususnya di Sabah supaya mendapatkan khidmat nasihat dan mengenal pasti peluang dan kemudahan pembiayaan mahu pun geran bantuan daripada agensi-agensi di bawah KUSKOP seperti SKM.

“SKM menyediakan pelbagai jenis bantuan termasuk Skim Bantuan Pembangunan atau Pembiayaan Tabung Modal Pusingan (TMPSKM) bagi mempertingkatkan lagi aktiviti perniagaan koperasi.

“Selain itu, kementerian lain seperti Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah (MIDE) juga menyediakan bantuan kepada usahawan-usahawan untuk memajukan lagi perniagaan mereka.

“Terima kasih kepada MIDE kerana menyalurkan bantuan pembangunan sebanyak RM150,000 kepada Koperasi Usahaniaga Kota Marudu untuk menubuhkan Pusat Produk IKS Mart di Kota Marudu,” katanya.

Ewon berkata, selain bantuan pembangunan keusahawanan, kejayaan sesebuah koperasi juga bergantung kepada komitmen, sokongan dan semangat kental dalam kalangan semua anggota koperasi berkenaan.

“Saya percaya pembukaan Pusat Produk IKS Mart Koperasi Usahaniaga Kota Marudu Berhad akan membantu lebih ramai usahawan yang bergerak secara kecil-kecilan dan mempunyai produk untuk memasarkan produk mereka di Kedai IKS Mart ini.

“Saya juga berharap agar lebih banyak koperasi IKS Mart dibuka di seluruh Sabah dan memainkan peranan dalam mengorak langkah bersama-sama kementerian untuk memajukan industri keusahawanan khususnya di Sabah,” katanya.

Ewon berkata, KUSKOP melalui SKM dan Institut Koperasi Malaysia (IKMa) serta  ANGKASA akan terus memperkasa dan melaksanakan transformasi sektor koperasi negara seiring dengan agenda transformasi pembangunan ekonomi negara. 

“Saya yakin dan percaya gerakan koperasi di seluruh negara akan terus menjadi tonggak penting bagi memakmurkan ekonomi dan memperkukuhkan kesejahteraan rakyat,” katanya.


 

  • oleh
  • Advertisement