Anda di sini

Ewon gesa koperasi di Sabah ceburi aktiviti perniagaan francais

Advertisement
 Ewon (tengah) memotong reben sebagai simbolik perasmian Pusat Produk IKS Mart Koperasi Usahaniaga Kota Marudu Berhad.
RASMIKAN: Ewon (tengah) memotong reben sebagai simbolik perasmian Pusat Produk IKS Mart Koperasi Usahaniaga Kota Marudu Berhad.



KOTA MARUDU: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick menggesa koperasi di seluruh negara khususnya di Sabah supaya menceburi aktiviti perniagaan francais.


Beliau berkata, tahun ini kementeriannya melalui Perbadanan Nasional Bhd (Pernas) memperuntukkan sebanyak RM50 juta untuk menyediakan pelbagai skim pembiayaan bagi membantu usahawan francais.


“Kita ada banyak produk yang telah didaftarkan sebagai produk francais. Baru-baru ini seramai 62 usahawan menyertai program Business in Transformation (BIT) yang mengusahakan pelbagai produk dan lebih 400 usahawan telah mendaftar di bawah produk mereka.


“Oleh itu, bagi koperasi yang berminat, mereka boleh menghubungi Kementerian atau Pernas untuk mengetahui lebih banyak maklumat mengenai kemudahan pembiayaan ini.


“Program BIT adalah satu program transformasi perniagaan untuk para usahawan kecil menjadi lebih kompetitif dan sistematik dalam menjalankan perniagaan agar dapat menjana lebih keuntungan dan mengembangkan perniagaan dengan lebih efektif,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pusat Produk IKS Mart Koperasi Usahaniaga Kota Marudu Berhad, di Medan Marudu, hari ini.

 Ewon (kanan) menunjukkan produk yang dijual di IKS Mart Koperasi Usahaniaga Kota Marudu Berhad.
ANEKA PILIHAN: Ewon (kanan) menunjukkan produk yang dijual di IKS Mart Koperasi Usahaniaga Kota Marudu Berhad.


Ewon berkata, sehingga Disember 2022 bilangan koperasi yang berdaftar di seluruh negara sebanyak 15,315 koperasi dengan jumlah keanggotaan seramai 7.05 juta orang.

 
“Dari segi modal syer/yuran keanggotaan, sejumlah RM16.99 bilion telah direkodkan dengan jumlah aset terkumpul sebanyak RM159.90 bilion.

 
“Bagi Sabah pula, jumlah koperasi berdaftar adalah sebanyak 1,706 buah, dengan kekuatan anggota seramai 343,230 orang.

 
”Manakala syer dan yuran terkumpul adalah sebanyak RM220 juta, aset terkumpul bernilai RM826.44 juta dan pencapaian jumlah perolehan sebanyak RM437.15 juta,” katanya.


Beliau berharap lebih banyak koperasi baharu diwujudkan di Sabah pada masa akan datang agar aktiviti keusahawanan melalui gerakan koperasi dapat dikembangkan.


Mengenai Majlis Pembangunan Usahawan Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil, Ewon berkata ia telah diperakukan di peringkat kabinet persekutuan.


“Jawatankuasa ini diwujudkan bagi memastikan isu pelaksanaan dan keperluan usahawan, koperasi, penjaja dan peniaga kecil dapat ditangani secara bersasar dan diselesaikan secara tuntas.

 
“Majlis Pembangunan Usahawan, Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Daerah ini dipengerusikan oleh Pegawai Daerah dan dimulakan secara rintis di Sabah. Manakala di Sarawak pula, ia dilaksanakan melalui Majlis Pembangunan Usahawan Peringkat Bahagian (MPUB) yang dipengerusikan oleh Timbalan Residen.

 
“Di Semenanjung, memang ada jawatankuasa sedia ada dan kita akan berbincang dengan kerajaan-kerajaan negeri sama ada menggunakan sepenuhnya konsep ini atau mengubah sedikit jawatankuasa penyelarasan sedia ada di negeri masing-masing,” katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement