Anda di sini

Tubuh Pejabat Konsulat Jeneral Filipina di Sabah

Advertisement
BOBBEY
BOBBEY

KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Negara Senator Datuk Bobbey Suan mencadangkan kepada Kerajaan Persekutuan untuk menubuhkan sebuah Pejabat Konsulat Jeneral Filipina di Sabah bagi menoktahkan masalah pendatang asing tanpa izin yang menimbulkan pelbagai masalah sosial di negeri ini.

Katanya, antara masalah berkenaan ialah seperti peminta sedekah oleh anak-anak pendatang asing tanpa izin yang menganggu laluan lalu lintas di kawasan bandaraya, masalah air yang disebabkan penyambungan paip secara haram sehinggalah pembinaan tanah perkuburan haram di kawasan pencawang elektrik. 

"Dengan adanya Pejabat Konsulat Jeneral Filipina di Sabah, saya mengharapkan agar masalah ini ditangani segera. 

"Ini selaras dengan Titah Diraja berkenaan isu-isu pendatang asing tanpa izin dan pelarian, termasuk pemohon suaka yang patut segera ditangani dengan tegas oleh pihak kerajaan, demi memastikan negara terpelihara daripada sebarang bentuk ancaman supaya Malaysia kekal aman, sejahtera dan berdaulat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahas Titah Diraja pada Persidangan Dewan Negara di Kuala Lumpur, kelmarin.

Bobbey berkata, Kerajaan Persekutuan juga perlu menggariskan matlamat dan strategi khusus bagi membebaskan Sabah daripada menjadi wilayah paling perlahan pertumbuhan ekonominya serta memiliki paras kemiskinan tertinggi di Malaysia.

Katanya, status Sabah sebagai wilayah termiskin seperti sudah jatuh ditimpa tangga. Isu kemiskinan di Sabah terlalu kompleks yang memerlukan pendekatan lebih komprehensif mengikut kawasan dan keperluan lebih inklusif mengikut daerah. 

"Kerajaan Pusat harus menggariskan pendekatan mikro secara bersinkronisasi dengan kerajaan negeri melalui agenda pemerkasaan ekonomi, pendigitalan dan penerimagunaan teknologi serta keusahawanan, supaya usaha membasmi kemiskinan tegar seterusnya meningkatkan pertumbuhan ekonomi dapat direalisasikan segera demi manfaat Wilayah Sabah.

"Kini, saya hanya mengharapkan, menunggu dan melihat apa pendekatan dan cara pihak kerajaan sekarang untuk mengeluarkan lapan buah daerah iaitu Kota Belud, Kota Marudu, Kudat, Pitas, Telipud, Beluran, Tongod dan Nabawan yang termundur dan miskin di Sabah dalam masa dua tahun ini, sehingga tahun 2025," tegasnya.

 
 

Advertisement