Anda di sini

Tiga acara utama sempena Sambutan Gawai Dayak Peringkat Negeri 2023

Advertisement
Sikie (tengah) serta yang lain menunjukkan poster Sambutan Gawai Dayak Peringkat Negeri Sarawak 2023 selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa kerja sambutan itu pada Jumaat.
Sikie (tengah) serta yang lain menunjukkan poster Sambutan Gawai Dayak Peringkat Negeri Sarawak 2023 selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa kerja sambutan itu pada Jumaat.

KUCHING: Sambutan Gawai Dayak Peringkat Negeri 2023 bakal menyaksikan tiga acara utama diadakan sepanjang bulan Jun depan.

Menteri di Jabatan Premier Sarawak Datuk John Sikie Tayai berkata, acara pertama ialah Bazar Gawai dari 16 hingga 25 Jun di pekarangan Dewan Masyarakat Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) di sini. 

Menurutnya, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dijangka merasmikan acara tersebut.

“Acara kedua pula ialah Perarakan Gawai Dayak Niti Daun pada 17 Jun 2023. 

“Bagaimanapun, kita belum memutuskan lagi lokasi bagi perarakan tersebut,” ujarnya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Sambutan Gawai Dayak Peringkat Negeri Sarawak 2023 di sini pada Jumaat.

Bagi Majlis Makan Malam Sambutan Gawai Dayak 2023 pula, Sikie berkata ia akan diadakan pada 24 Jun 2023 di Hotel Imperial di sini.

“Tetamu kehorma bagi majlis ini ialah Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Kurdi Taib.

“Turut dijangka hadir ialah Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta isteri, Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang,” katanya.

Menurut beliau, kesemua acara yang disediakan sempena sambutan Gawai Dayak itu akan diraikan dengan meriah.

“Apatah lagi ia merupakan salah satu acara dalam Sambutan Perayaan 60 Tahun Sarawak Merdeka.

“Dan, acara ini akan melibatkan persatuan pelbagai etnik daripada pelbagai badan bukan kerajaan di Sarawak,” ujarnya.

Hadir sama pada mesyuarat itu ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Sarawak Dato Ir Alice Jawan Empaling, Setiausaha Tetap Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Setiausaha Jawatankuasa Kerja Sambutan Hari Gawai Dayak Peringkat Negeri Sarawak Sirai Daha serta tetamu kehormat lain.
 

  • oleh
  • Advertisement