Anda di sini

TBS terus santuni asnaf menerusi inisiatif Program Kasih Ramadan

Advertisement
Abang Mohd Shibli (kiri) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima pada Majlis Pelancaran Program Kasih Ramadan dan Penyerahan Bantuan TBS di Kuching, pada Jumaat.
Abang Mohd Shibli (kiri) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima pada Majlis Pelancaran Program Kasih Ramadan dan Penyerahan Bantuan TBS di Kuching, pada Jumaat.

KUCHING: Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) meneruskan inisiatif menyantuni golongan memerlukan seperti asnaf menerusi Program Kasih Ramadan tahun ini.

Pengurus Besar TBS Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie berkata, program itu bertujuan meringankan beban golongan terbabit dalam menyambut bulan Ramadan.

“Kita salurkan bantuan-bantuan ini kepada mereka yang layak berdasarkan senarai fakir yang disiasat sendiri oleh organisasi kita (TBS).

“Sumbangan ini bertujuan membantu golongan sasar untuk mendapatkan bantuan khususnya dari segi sara hidup, pendidikan, kesihatan dan sebagainya,” ujarnya pada Majlis Pelancaran Program Kasih Ramadan dan Penyerahan Bantuan TBS di Ummah Distribution Centre (UDC) di sini, pada Jumaat.

Menurut Abang Mohd Shibli, ia merupakan usaha berterusan TBS dengan sejumlah RM84.7 juta diagihkan untuk tujuan yang sama mengikut kehendak syariah pada tahun lepas.

“Kita yakin golongan yang dipilih adalah betul berdasarkan kajian teliti yang telah dilakukan dengan jumlah terkini seramai 4,486 individu fakir di Sarawak,” jelasnya.

Misalan di Kuching katanya, seramai 30 penerima yang layak menerima manfaat sejumlah RM50,220 oleh TBS sebagai sumbangan bulan Ramadan.

“Bantuan yang disalurkan merupakan inisiatif di bawah Program Mengukuhkan Tradisi Keilmuan dan Program Memantapkan Kebajikan Ummah oleh pihak TBS,” katanya.

Beliau dalam pada itu berharap orang ramai akan terus memberi sokongan dan kerjasama dalam membantu usaha TBS menunaikan amanah dalam hal ehwal pengurusan zakat.

Masyarakat Islam katanya, juga harus bersama-sama menjayakan program akan datang menerusi bantuan kewangan mahupun makanan.

Pada majlis itu, TBS menerima zakat berjumlah RM309,855 daripada Telekom Malaysia Berhad.
 

  • oleh
  • Advertisement