Anda di sini

Sembilan termasuk pegawai penguatkuasa ditahan terlibat penyeludupan PTI

Advertisement
 Sebahagian suspek yang ditahan reman selama enam hari bermula 24 hingga 29 Mac depan.
REMAN: Sebahagian suspek yang ditahan reman selama enam hari bermula 24 hingga 29 Mac depan.

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan sembilan individu termasuk lima pegawai penguatkuasa dalam Ops Lancar selepas dipercayai terlibat 

dengan sindiket penyeludupan Pendatang Tanpa Izin (PTI) di negeri ini.

Perintah reman terhadap kesemua suspek dijalankan selama enam hari bermula 24 hingga 29 Mac selepas dikeluarkan oleh Majistret Leona Dominic Mojiliu di Mahkamah Majistret Tawau sebaik permohonan dibuat pihak SPRM pagi kelmarin.

Menurut sumber lima suspek termasuk dua pegawai wanita berumur 30 hingga 41 tahun itu ditahan kira-kira jam 2.30 petang hingga 8.40 malam di pejabat masing-masing manakala beberapa suspek turut ditahan ketika hadir memberikan keterangan.

Katanya empat daripada suspek yang dipercayai bertindak sebagai ejen PTI dari negara jiran melibatkan tiga wanita tempatan berumur 37 hingga 48 tahun dan seorang lelaki warga asing berusia 73 tahun itu ditahan antara jam 3.30 petang hingga 6 petang.

“Modus operandi sindiket terbabit adalah dengan menerima bayaran sebanyak RM2,500 daripada setiap PTI atau Pemastautin Sementara yang tidak mempunyai dokumen lengkap atau mempunyai sekatan sekiranya ingin keluar dari Sabah melalui Lapangan Terbang Tawau.

“Sindiket itu kemudiannya akan membekalkan MyKad tulen dan pas masuk menaiki pesawat diatas nama pemilik asal MyKad kepada kumpulan PTI yang menggunakan khidmat mereka.

“PTI dari negara jiran terbabit kemudian akan melepasi pemeriksaan pihak berkuasa di Lapangan Terbang Tawau dan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) selepas bayaran rasuah dibuat kepada pegawai penguatkuasa tersebut,” katanya.

Sementara itu Pengarah Perisikan SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Beliau berkata, operasi khas itu dijalankan dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

  • oleh
  • Advertisement