Anda di sini

Perlumbaan Borneo Utara dedah tapak bersejarah di Bandaraya Kota Kinabalu

Advertisement
 Wendy semasa memberikan taklimat berkenaan perlumbaan terbabit kepada Joniston.
TAKLIMAT: Wendy semasa memberikan taklimat berkenaan perlumbaan terbabit kepada Joniston.

KOTA KINABALU: Perlumbaan Borneo Utara yang bakal dianjurkan pada September depan akan mengetengahkan bangunan atau tapak bersejarah yang ada di kawasan bandaraya Kota Kinabalu.

Penganjur acara Wendy John berkata perlumbaan yang dianjurkan Kelab Olahraga KSRun ini bagaimanapun terhad kepada 70 pasukan sahaja dengan setiap pasukan disertai empat peserta.

“Sepanjang perlumbaan terbabit, peserta akan dibawa untuk mengimbau kembali nostalgia ibu negeri Sabah di mana peserta perlu menguraikan teka-teki untuk sampai ke pusat pemeriksaan seterusnya dalam perlumbaan terbabit,” katanya.

Wendy juga memberikan taklimat kepada Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB) Datuk Joniston Bangkuai mengenai perlumbaan itu yang sudah mencatatkan pendaftaran sebanyak 20 pasukan setakat ini.

Sementara itu Joniston berkata perlumbaan itu bertepatan dengan slogan pelancongan Sabah baharu, ‘Feel Sabah, North Borneo,’.

Tambahnya acara seumpama juga diyakini mampu menarik peserta dari dalam negeri sendiri selain pelancong luar.

“Bandaraya Kota Kinabalu yang berfungsi sebagai ibu negeri dan pintu masuk utama ke Sabah adalah destinasi beberapa mercu tanda bersejarah yang tidak diketahui semua orang.

“Perlumbaan Borneo Utara adalah sesuatu yang saya anggap sebagai pendidikan dan memberi manfaat kepada sesiapa yang berminat untuk menyertainya kerana ia adalah cara terbaik untuk mengetahui tentang sejarah bandar ini,” katanya.

Beliau yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah berkata penganjuran acara pada September adalah masa yang sesuai berikutan ia bertepatan dengan sambutan Hari Malaysia.

Dalam pada itu Wendy berkata peserta dalam Perlumbaan Borneo Utara perlu mencari penyelesaian teka teki di kawasan bandar dan berinteraksi dengan orang ramai.

“Semasa perlumbaan juga peserta kumpulan akan menghadapi beberapa cabaran fizikal dan mental yang menekankan sebahagian daripada budaya dan sejarah di Sabah,” katanya sambil menambah peserta juga perlu bergerak menggunakan kenderaan serta berjalan kaki sepanjang perlumbaan.

Pasukan yang menang bakal menerima RM3,000 manakala naib juara RM2000, dan tempat seterusnya RM1000.  

Orang ramai yang berminat untuk menyertai acara ini boleh melayari laman Facebook Kelab Olahraga KSRun.

  • oleh
  • Advertisement