
KUDAT: Pembangunan semula projek Patung Mazu yang terbengkalai sejak 20 tahun mampu menjadikan Kudat sebagai destinasi pelancongan wajib dilawati di masa hadapan.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew berkata, beliau akan membawa perkara itu kepada perhatian kerajaan negeri untuk pertimbangan dan kelulusan.
Baru-baru ini, Christina telah mengadakan lawatan ke tapak projek berkenaan selepas menerima permintaan daripada masyarakat setempat yang menzahirkan harapan sekiranya kerajaan kini boleh membangunkan semula tapak berkenaan.
Tinjauan juga dilakukan sejurus lawatan kerja dua hari beliau ke daerah berkenaan.
Christina berkata, penduduk setempat berpendapat bahawa Kudat mampu dibangunkan sebagai destinasi pelancongan sekiranya projek berkenaan diteruskan semula.
“Ia pasti akan menjadi ikon pelancongan dan merancakkan sektor pelancongan di daerah ini, sama seperti Tanjung Simpang Mengayau.
“Apa sahaja konflik pada masa lalu, ianya boleh diselesaikan secara baik, sekali gus memanfaatkan penduduk Kudat,” katanya selepas melawat tapak itu pada Khamis.
Christina juga berkesempatan melawat Muzium Tun Mustapha dan Rumah Hakka yang dikendalikan oleh Gereja Anglikan Kudat.