Anda di sini

Chong rampas kembali gelaran juara Kejohanan Tenpin Boling Tertutup Sarawak selepas 12 tahun

Advertisement
Chong (tiga kanan) dan Claudia bergambar bersama (dari kiri) Robert, Sunny Si, Ahmad Rodzli dan Saifulbahri selepas menerima hadiah mereka.
Chong (tiga kanan) dan Claudia bergambar bersama (dari kiri) Robert, Sunny Si, Ahmad Rodzli dan Saifulbahri selepas menerima hadiah mereka.

KUCHING: Juara perseorangan lelaki Remaja Asia 2013, Chong Jun Foo merangkul gelaran keduanya dalam acara terbuka Kejohanan Tenpin Boling Tertutup Sarawak yang diadakan di Megalanes Sarawak, Batu Kawa baru-baru ini.

Atlet berusia 30 tahun yang merangkul kejuaraan pertama pada 2011 berjaya mengatasi cabaran sengit Bong Kihow dengan 440-424 dalam aksi final untuk membawa pulang wang tunai RM3,000, trofi cabaran dan kejuaraan.

Sebelumnya, beliau mengatasi Musayyar Khalid 522-392 dalam aksi separuh akhir manakala Bong menundukkan Gordon Tsen Fan Yew 474-424 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

"Saya sangat gembira dan teruja kerana berjaya memenangi kejohanan ini sekali lagi selepas 12 tahun. Adalah menjadi impian saya untuk melihat nama saya sekali lagi terukir di trofi ini selepas kembali semula beraksi pada 2016 susulan kecederaan pergelangan tangan yang saya alami.

"Sudah tentu saya sangat berpuas hati dengan keseluruhan persembahan saya dalam kejohanan ini.

"Sebenarnya saya tidak menjangka akan beroleh kemenangan kerana hanya menjalani latihan dua minggu lepas memandangkan ketika ini keluarga saya sedang menanti kelahiran bayi baru dalam," katanya ketika dihubungi.

Menurut Chong, sasarannya selepas ini adalah untuk memenangi Terbuka Antarabangsa Sarawak Hornbill yang dijadual berlangsung pada tahun ini.

Beliau juga merakamkan terima kasih kepada jurulatihnya, Jackson Ting dan Angelo Koay kerana memberinya kepercayaan dan kepada Persatuan Tenpin Boling Amatur Sarawak (ABAS) kerana sentiasa menyokong beliau.

Robert Lu (tengah) merakam kenangan bersama (dari kanan) Peter Pu, Wagiman dan Sunny Si selepas majlis penyampaian hadiah.
Robert Lu (tengah) merakam kenangan bersama (dari kanan) Peter Pu, Wagiman dan Sunny Si selepas majlis penyampaian hadiah.

Sementara itu, Claudia Kumang Jakson melakar kejutan apabila memenangi kategori wanita selepas mencatat 2,546 jatuhan pin dalam 12 pusingan permainan.

Tempat kedua hingga kelima dirangkul Nur Aina Kamalia Abdul Ayub (2,510), Andrea Tan Tze Shuen (2,471), Nur Hazirah Ramli (2,440), Nur Amylda Natasha Jemat Zaidil (2,387) dan Marzainah Jayamara (2,368).

Kategori senior pula menyaksikan Naib Presiden ABAS Robert Lu Nam Min dinobatkan johan dengan jatuhan 2,565 pin dalam 12 pusingan untuk menewaskan 21 pencabar lain.

Wagiman Kassim di tempat kedua dengan kekurangan lapan pin manakala Peter Pu (2,555), Mohamad Amran (2,541) dan Abu Seman Umar (2,486) masing-masing menduduki tempat ketiga hingga kelima.

"Saya sangat gembira kerana berjaya menaiki podium semula. Hanya sedikit pertandingan senior dianjurkan baru-baru ini. Lebih banyak negara di rantau Asia mempertandingkan kategori senior dalam pertandingan mereka.

"Di Malaysia, Pulau Pinang, Selangor dan Sarawak mula memfokuskan kepada pertandingan kategori senior," ujar Robert.

Menurutnya, beliau mula memenangi kejohanan itu pada 2018 dengan menduduki tempat kedua namun tiada pertandingan dianjurkan selepas itu.

Beliau kemudian memenangi kategori senior pada 2020 semasa Tertutup Sarawak dan meraih tempat kedua pada Kejohanan Masters (senior) pada 2021.

Katanya, kejohanan tahun ini agak sengit memandangkan kategori senior dibuka kepada mereka yang berusia 45 tahun ke atas namun bersyukur kerana dibantu kelebihan handikap dan lorong yang baik. 

"Saya berharap untuk menyaksikan lebih ramai pemain senior mengambil bahagian selepas ini. Jika saya boleh, anda juga boleh," ujar Robert lagi.

Sementara itu, Gordon Tsen yang baharu diserap dalam skuad kebangsaan merangkul Piala Persatuan selepas melakukan 1,335 jatuhan pin.

Beliau juga memenangi tempat ketiga dalam kategori bawah 21 tahun remaja lelaki dengan 1,335 jatuhan pin di belakang Ahmaddin Rejab Zaini (1,360) dan Eldred Kho Yek Zhen (1,335).

Kategori remaja perempuan pula diungguli Nur Amylda dengan 1,264 pin, disusuli Claudia Kumang dan Nur Aina Kamalia dengan 1,263 pin dan 1,248 pin.

Pemenang lain ialah Gerald Ethan Tony (lelaki U12), Ahmaddin Rejab (lelaki U15), Eldred Kho (lelaki U18), Nur Fathi Fatihah (perempuan U12), Andrea Tan (perempuan U15) dan Nur Amylda Natasha (perempuan U18).  

Hadir menyempurnakan penyampaian hadiah ialah Pengurus Bahagian Pembangunan Sukan Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) Ahmad Rodzli Hashim, Presiden ABAS Sunny Si Poh Heng dan Timbalan Presiden ABAS Saifulbahari Shukri.
 

  • oleh
  • Advertisement