Anda di sini

Bobbey hargai Titah Diraja mahu fokus MA63 dilaksanakan segera

Advertisement
BOBBEY
BOBBEY

KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Negara Senator Datuk Bobbey Suan menzahirkan ucapan penghargaan ke atas Titah Diraja yang khusus memfokuskan kepada tindakan segera dalam menyelesaikan isu-isu berhubung tuntutan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak mengenai pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). 

"Bagi saya, perkara MA63 ini tidak lagi banyak yang diceritakan kerana ianya sudah dalam peringkat perlaksanaan. Dua peringkat telah kita lalui, iaitu peringkat pertama, dimana pemimpin-pemimpin kita terdahulu telah memperhalusi dan memuktamadkan perjanjian MA63 ini, kemudian peringkat kedua dimana kita telah memasukkannya dalam perlembagaan Malaysia. 

"Kini MA63 telah pun menjadi sebahagian daripada perlembagaan negara ini. Hari ini ia seharunya dalam peringkat perlaksanaan perlembagaan, tidak patut ianya dipertikaikan lagi. Laksanakan sahaja apa yang termaktub dalam perlembagaan ini dengan segara secara tuntas," tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika membahas Titah Diraja pada Persidangan Dewan Negara di Kuala Lumpur, kelmarin.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pemindahan kuasa kawal selia bekalan gas kepada kerajaan Sabah dengan mengiktiraf Jabatan Kerja Raya Sabah dan Sarawak sebagai Jabatan Teknik. 

Sehubungan itu, beliau turut menyokong sepenuhnya Titah Diraja yang menegaskan agar kerajaan menambah baik tahap pemberian khas kepada Sabah dan Sarawak demi untuk menggiatkan aktiviti pembangunan dan pemerkasaan ekonomi di kedua-dua negeri berkenaan.

Menyentuh pemerkasaan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), Bobbey mengingatkan kerajaan agar jangan meminggirkan golongan kurang dan kelainan upaya (OKU). 

Beliau risau dan terkilan kerana Sabah yang berpopulasi seramai 3.4 juta orang, tetapi hanya sebuah Kolej Vokasional (KV) diwujudkan di Bahagian Pedalaman yang menawarkan TEVT Pendidikan Khas. 

Katanya, ibu bapa yang mempunyai anak OKU di Sabah amat memerlukan KV TVET Pendidikan Khas supaya anak-anak syurga mereka dapat melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi, khusus dalam bidang TEVT dan dapat berdikari untuk mencari rezeki serta pendapatan sendiri apabila ibu bapa mereka sudah tiada satu hari nanti.

"Justeru daripada membina KV yang baru, saya mencadangkan Kementerian Pendidikan supaya menaiktaraf KV sedia ada sama ada di Bahagian Pantai Barat, Bahagian Kudat, Bahagian Sandakan dan Bahagian Tawau termasuklah Wilayah Persekutuan Labuan dengan menambah program TVET Pendidikan Khas untuk anak-anak OKU ini," katanya.

Bobbey juga menyokong penuh penekanan kepada akses perumahan yang berkualiti dan mampu dimiliki dengan memberi keutamaan kepada pelbagai inisiatif yang lebih mesra pendapatan seperti Rumah Mampu Milik (RMM), Skim Perumahan Belia dan Program Rent-to-Own (RTO) bukan sahaja bagi kumpulan B40 tetapi juga M40 khususnya golongan miskin bandar. 

Katanya, strategi perumahan yang inklusif, praktikal dan mampan hendaklah dirangka melalui sesi libat urus dengan semua pihak yang berkepentingan secara konsisten. 

Di samping itu katanya, penyediaan tempat tinggal yang selesa dan kondusif juga perlu diperluaskan melalui penyediaan bantuan bina baharu, serta pembaikan rumah yang uzur terutamanya kepada golongan miskin, kurang berkemampuan agar rakyat dapat menjalani kehidupan yang lebih sejahtera serta mampan. 

"Soalan saya kepada pihak kementerian terbabit, berapakah kuota dan status terkini pemilikan 500 ribu unit rumah mampu milik seperti yang termaktub dalam Rancangan Malaysia (RM) Ke-12 bagi kumpulan B40 dan M40 di Sabah?," tanya beliau.

Advertisement