Anda di sini

Segerakan pembinaan Klinik Kesihatan Kg Sungai Tamang Pulau Sebatik

Advertisement
ANDI
ANDI

KUALA LUMPUR: Penduduk di Kampung Sungai Tamang dan kawasan sekitarnya di Pulau Sebatik Tawau sehingga kini terpaksa menaiki bot selama 45 minit sehingga sejam untuk ke Hospital Tawau bagi mendapatkan rawatan.

Ia berlaku akibat kelewatan pembinaan klinik kesihatan di kawasan tersebut.

Perkara ini disuarakan oleh Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy yang bertanya kepada Kementerian Kesihatan bilakah pembinaan Klinik Kesihatan Kampung Sungai Tamang dijangka akan siap bagi memenuhi keperluan kesihatan penduduk setempat.

Menurutnya, klinik kesihatan tersebut yang dikategorikan sebagai Klinik Kesihatan Kelas Enam dan dijangka menelan kos kira-kira RM30 juta meliputi kos bangunan, kuarters and peralatan, sepatutnya telah mula dibina pada tahun 2019.

Namun, pembinaannya terpaksa ditangguhkan kerana terdapat beberapa isu berkaitan pemilikan tanah.

“Terkini, saya difahamkan bahawa projek ini telah berada pada fasa akhir perancangan reka bentuk struktur sebelum ianya dilaksanakan.

“Justeru, saya ingin mendapatkan jaminan daripada pihak Kementerian, bilakah projek ini dijangka akan siap dibina bagi memenuhi keperluan kesihatan penduduk setempat.

"Ketika ini, penduduk menghadapi kesukaran untuk mendapatkan akses kesihatan dan terpaksa menaiki bot yang mengambil masa yang lama kira-kita 45 minit sehingga sejam untuk mendapatkan rawatan di Hospital Tawau,” katanya ketika membahas pada peringkat jawatankuasa Kementerian Kesihatan di Dewan Rakyat, di sini, pada Selasa.

Andi turut bertanya kepada Kementerian apakah status terkini rancangan untuk memindahkan operasi Klinik Desa Tanjung Batu Darat yang telah beroperasi sejak tahun 1970an dan kini telah usang yang terletak di Jalan Imam Galundang, Taman Ria 6, ke tapak baharu di Taman Ria Height.

Katanya, perpindahan klinik ini ke tapak baharu tersebut penting bagi menjamin keselesaan berikutan kapasiti penduduk yang semakin bertambah di kawasan sekitar.

“Saya juga ingin bertanya adakah pihak Kementerian bercadang untuk memindahkan Klinik Kesihatan Semarak, Tawau ke lokasi baharu memandangkan pada ketika ini klinik ini beroperasi di kawasan lot kedai yang keluasannya tidak lagi sesuai.

"Ia kerana lokasinya agak sempit untuk menampung kapasiti pesakit yang semakin bertambah, sehinggakan pesakit terpaksa menunggu giliran di kawasan tempat letak kereta untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Beliau iuga meminta agar pihak kementerian memberikan kelulusan kepada permohonan untuk kerja- kerja pembaikan Klinik Kesihatan Merotai besar termasuk sembilan unit kuarters yang kini terlalu uzur dan usang.

“Selain itu, saya meminta agar pihak Kementerian meluluskan kerja-kerja pembinaan bangunan baharu Unit Kesihatan Keluarga (MCH) dan kecemasan serta kuarters di Klinik Kesihatan Felda Umas yang juga uzur dan using,” katanya, sambil memohon agar kawasan letak kereta Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau diperbaiki dan ditambah baik dari segi turapan dan perparitan kerana seringkali dilanda banjir.

Andi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu turut memohon agar bilangan ambulans yang lengkap dengan keperluan medik dan menyelamat ditambah di Klinik Desa Kalabakan bagi memenuhi keperluan pertambahan penduduk, memandangkan pada ketika ini klinik ini hanya mempunyai satu ambulans sahaja dan ianya kurang dilengkapi dengan kelengkapan medik dan menyelamat.

“Tambahan pula, jarak perjalanan dari Kalabakan ke Tawau adalah sejauh 90 kilometer, iaitu memerlukan masa hampir sejam lebih untuk sampai.

"Justeru itu, ambulans yang lengkap dengan kelengkapan medik dan menyelamat sudah pasti amat diperlukan pada waktu-waktu kritikal,” katanya, sambil turut bertanya bilakah bangunan baharu Hospital Tawau akan dapat beroperasi sepenuhnya.

Andi berharap agar isu-isu berkaitan kepentingan kesihatan penduduk di kawasan parlimen beliau yang telah diutarakan mendapat pembelaan yang sewajarnya oleh pihak Kementerian.

“Justeru itu, seluruh kepercayaan diletakkan dibawah kepimpinan Kerajaan Madani yang prihatin dengan keperluan penduduk agar isu ini dapat diselesaikan dengan kadar segera,” ujarnya. 

Advertisement