Anda di sini

Laporan NGO kurang tepat, tidak gambarkan senario sebenar

Advertisement


KOTA KINABALU: Laporan sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) baru-baru ini mengenai hutan hujan negara ini adalah kurang tepat serta tidak menggambarkan senario sebenar pengurusan perhutanan di Sabah.

Ketua Konservator Hutan, Jabatan Perhutanan Sabah Datuk Frederick Kugan berkata demikian ketika memberi maklum balas terhadap laporan NGO bertajuk 'State of Malaysian Rainforest 2023'.

"Sejajar dengan Dasar Hutan Sabah 2018, kerajaan negeri Sabah komited untuk mengekalkan 50 peratus kawasan litupan hutan negeri.

"Pada masa ini, Sabah masih mengekalkan 64 peratus kawasan litupan hutan negeri yang meliputi 3,848,597 hektar (52 peratus) yang diwartakan sebagai kawasan hutan simpan dan kawasan perlindungan lain," katanya.

Beliau berkata, bagi memperkasa pengurusan hutan negeri dan melindungi khazanah penting itu, Sabah telah mewartakan sehingga 1.9 juta hektar (26.4 peratus) sebagai Kawasan Terlindung Sepenuhnya, bagi mencapai sasaran 2.2 juta hektar atau 30 peratus daripada keluasan negeri menjelang tahun 2025.

Katanya, bermula tahun 1997, kerajaan negeri telah mengambil langkah bijak dengan mentransformasikan amalan penuaian hutan secara konvensional kepada pengurusan hutan mampan (SFM).

"Melalui pelaksanaan SFM yang memberi penekanan kepada tiga tonggak utama iaitu alam sekitar, ekonomi dan sosial, telah mengubah landskap pengurusan hutan yang lebih efisien, sistematik serta mengimbangi pembangunan pesat sektor lain seperti pertanian, pembangunan bandar atau penempatan dan juga infrastruktur jalan raya, sumber tenaga dan sebagainya di Sabah.

"Salah satu strategi SFM adalah memulihkan stok dirian hutan melalui penubuhan ladang hutan demi memenuhi bekalan sumber balak di masa hadapan," katanya.

Katanya, kerajaan negeri telah mengenal pasti sebahagian kecil kawasan hutan simpan yang miskin dengan keluasan 400,000 hektar untuk tujuan tersebut, sebagaimana termaktub dalam Pelan Tindakan Pembangunan Ladang Hutan (2022 – 2036). 

Menurutnya, penubuhan ladang hutan ini akan mengurangkan kebergantungan industri kayu kayan tempatan terhadap sumber bekalan balak daripada hutan asli negeri.

"Bagi konteks negeri Sabah, penubuhan ladang hutan tidak ditakrif sebagai penyahhutanan kerana ia tidak menukarkan kawasan hutan kepada tujuan guna tanah yang lain.

"Sebagai alternatif lain bagi menjana pendapatan baharu, kerajaan Sabah telah meneroka inisiatif-inisiatif yang dapat menyokong konservasi hutan melalui peralihan kepada penerokaan potensi penjanaan hasil pendapatan bukan berasaskan kepada kayu.

"Ini termasuklah aktiviti-aktiviti rekreasi berasaskan hutan, pembayaran perkhidmatan ekosistem hutan dan perdagangan karbon melalui pelaksanaan Reducing Emissions from Deforestation and Forest Degradation Plus (REDD+)," katanya.

Jelasnya, rasionalisasi guna tanah di negeri ini masih perlu diteruskan kerana Sabah masih memerlukan kawasan tanah untuk tujuan pembangunan sosio-ekonomi dengan mengambil kira keadaan sosio-ekonomi negeri pada masa ini.

Namun katanya, pembangunan ini akan dijalankan selari dengan pelan konservasi negeri seperti mana yang digariskan dalam Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya.  

  • oleh
  • Advertisement