Anda di sini

ADUN, PPM diingatkan disiplin belanjakan peruntukan BOS

Advertisement
 Masidi (tiga kiri) menerima cendera kenangan daripada James.
CENDERA KENANGAN: Masidi (tiga kiri) menerima cendera kenangan daripada James.

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) diingatkan supaya mengamalkan disiplin kewangan apabila membelanjakan peruntukan termasuklah Bantuan Orang Susah (BOS).

Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, ADUN dan PPM perlu memastikan peruntukan bantuan tersebut sampai kepada golongan sasaran.

Selain itu, katanya, ADUN dan PPM juga mesti melengkapkan dan menyerahkan laporan perbelanjaan mereka bagi membantu kerajaan negeri memantau keberkesanan bantuan tersebut.

“Laporan itu penting bagi mengetahui keberkesanan bantuan supaya Kementerian Kewangan Sabah dapat mengekalkan pencapaian bertaraf lima bintang dan antara yang terbaik di negara ini.

“Laporan itu dibuat bukan untuk menyusahkan wakil rakyat atau PPM, tetapi ia salah satu langkah kerajaan untuk memastikan peruntukan sampai kepada penerima,” katanya.

Beliau berkata demkian ketika memberikan ucapan penutupan taklimat Jabatan Kebajikan Masyarakat Sabah dengan PPM, di sini, semalam.

Menurutnya, agihan peruntukan BOS sebanyak RM100,000 kepada setiap 73 ADUN serta penyerahan laporan perlu dilakukan secara konsisten dan bukannya untuk disimpan atau dibelanjakan pada akhir tahun.

“Saya berharap semua PPM juga akan memainkan peranan mereka dalam mengagihkan BOS secara adil kepada orang yang benar-benar memerlukan bantuan,” katanya.  

Sementara itu, Masidi turut mengingatkan PPM supaya memastikan peralatan dipinjamkan kepada orang ramai melalui program ‘Homeward’ di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat dijaga bagi memaksimumkan bilangan orang yang boleh mendapat manfaat dalam jangka panjang.  

“Adalah menjadi harapan kami apabila pelanggan atau pesakit pulih, peralatan itu kemudiannya boleh dipinjamkan kepada orang lain yang layak dan benar-benar memerlukan,” katanya.

Turut hadir dalam program itu ialah Menteri Pembangunan Masyarakat dan  Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib dan Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan  Kesejahteraan Rakyat, Datuk Flovia Ng.

  • oleh
  • Advertisement