Anda di sini

Bintulu Legend tewaskan SSC Veteran 2-0

Advertisement
Skuad Bintulu Legend.
Skuad Bintulu Legend.

BINTULU: Bintulu Legend yang dibarisi ramai bekas pemain bintang Ngap Sayot mengatasi mudah Skuad Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) Veteran 2-0 dalam perlawanan bola sepak persahabatan di Stadium Bintulu, baru-baru ini.

Bintulu Legend dibarisi Dahlan Matusin, Zapri Manai, Pengiran Bala, Musa Meliki dan beberapa pemain handalan lainnya berjaya menjinak skuad SSC Veteran apabila bekas penyerang prolifik yang tidak asing di Bintulu, Rosli Suhaili dan Abdullah Tuah berjaya menjaringkan gol masing-masingnya pada minit ke 25 dan 40 untuk Bintulu Legend.

SSC Veteran tidak kurang hebatnya turut dibarisi bekas pemain handalan skuad Bintulu tahun 1990-an antaranya Mohd Hamid Ghani termasuk Ketua Pegawai Eksekutif SSC merangkap Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) Awang Putrayusrie Awang Redzuan cuba memperkuat barisan pemain yang ada turut menyarung jersi SSC Veteran namun gagal menterjemah sebarang jaringan.

Skuad SSC Veteran.
Skuad SSC Veteran.

Terdahulu, sepak mula perlawanan anjuran SSC serta turut mendapat kerjasama Persatuan Bola Sepak Bintulu (BiFA) itu telah disempurnakan oleh Awang Putrayusrie.

Menurut jawatankuasa penganjur, perlawanan itu diadakan adalah untuk menguji pembukaan semula padang bola sepak Stadium Bintulu yang sebelum ini ditutup sementara daripada penganjuran kejohanan-kejohanan bola sepak tempatan bagi tujuan baik pulih.

Pada masa sama katanya, pelawanan yang diadakan itu untuk menggalakkan bekas-bekas pemain Ngap Sayot untuk beraksi semula dan menyerlah sentuhan berbisa yang masih ada dalam kalangan mereka meskipun telah meniti usia dan kini kebanyakannya aktif dalam bidang kejurulatihan.

Advertisement