Anda di sini

NTA mahu Hulu Kadamaian dijadikan destinasi pelancongan terkenal

Advertisement
MICHAEL
MICHAEL


KOTA  BELUD: Nabalu Tourism Association (NTA) mahu Hulu Kadamaian muncul sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia menjelang 2033.

Presiden Persatuan NTA Michael Liman berkata, kedudukan Hulu Kadamaian yang terletak di lembah Tapak Warisan Dunia UNESCO Gunung Kinabalu, dianugerah dengan alam semula jadi seperti sungai, hutan yang cantik terpelihara yang kini semakin dikenali bukan sahaja dalam kalangan pelancong tempatan tetapi luar negara.

"NTA ialah persatuan pelancongan baharu di Hulu Kadamaian Kota Belud yang anggotanya terdiri daripada pemain industri pelancongan tempatan dari Kampung Kiau sehingga Kg. Gaur Kota Belud.

"NTA telah diluluskan pada Januari lalu oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) bukan sahaja merancakkan kegiatan pelancongan dalam kalangan komuniti Hulu Kadamaian tetapi Sabah amnya.

"Dahulu kita dalam Persatuan Pelancongan Kadamaian (KATA) dan kita berjaya menerima Anugerah Pelancongan Berasaskan Komuniti ASEAN di Hanoi, Vietnam dari usaha keras komuniti di Hulu Kadamaian, dan kita percaya pada masa akan datang, kami bersedia mengulangi kejayaan itu untuk komuniti pelancongan Hulu Kadamaian.

"Beberapa perancangan telah dilakukan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat di kawasan Hulu Kadamaian, terutama kesedaran mengenai potensi bidang pelancongan sebagai sumber ekonomi baharu yang sangat menguntungkan.

"Kami percaya masih banyak kawasan baharu yang belum diterokai dan berpotensi di Hulu Kadamaian. Kami percaya itu adalah tanggungjawab NTA untuk memberi kesedaran kepada komuniti disamping perlunya bantuan daripada pihak kerajaan berkaitan," katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata, NTA adalah persatuan pemudah cara, pengantara bagi komuniti di sini untuk mengembangkan industri pelancongan kepada ahli-ahlinya.

 Pemandangan di Hulu Kadamaian yang berpotensi dijadikan destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa.
INDAH: Pemandangan di Hulu Kadamaian yang berpotensi dijadikan destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa.

Menurutnya, NTA memberi latihan kursus kemahiran yang berkaitan dengan industri pelancongan.

"Fokus utama kami ialah memberi kesedaran kempen kepada masyarakat sentiasa menjaga alam semula jadi di Hulu Kadamaian agar sentiasa mampan dan terpelihara.

"Kawasan Kadamaian sangat luas dengan jumlah pusat-pusat pelancongan yang sangat tinggi. Kami tubuhkan NTA untuk mengecilkan skop kawasan supaya lebih fokus memajukan kawasan Hulu Kadamaian yang semakin berkembang," katanya.

Michael berkata, beberapa visi dan misi persatuan, pelan tindakan akan digubal bagi merealisasikan hala tuju persatuan itu agar berjaya dilaksanakan.

"Antaranya, mewujudkan satu pusat layanan, pengumpulan data dan maklumat, membina gerbang ke alam semula jadi di Hulu Kadamaian, memperkenalkan pakej-pakej mengikut kesesuaian atau permintaan pelanggan, menganjurkan program-program menjurus kepada pendidikan, latihan dan kepakaran kepada ahli NTA.

"Selain itu, kami juga menganjur seminar yang berkaitan dengan kewujudan, pembentukan dan pengurusan produk pelancongan dengan melibatkan mana-mana agensi berkaitan," katanya.

NTA diterajui oleh Michael Liman selaku Presiden, Timbalan Presiden Dimis Rumanti, Setiausaha Agung Daniel Samudin, Penolong Setiausaha Agung Mary Johnny, Bendahari Agung Damius Talindap dan Penolong Bendahari Jentany Rongod.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa ialah Peter Semudin, Jupiah Ezra Sambatan, Idimin Girumong, Risin Sikin, Zinin Daruan, Soulin Salindap, Pool Rumanti, Somboton Gunsalahon dan Rusinah Rumanti.


 

  • oleh
  • Advertisement