Anda di sini

Unjuran data hidroiklim sehingga tahun 2100 berupaya bantu kesiapsiagaan hadapi risiko banjir

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Maklumat unjuran data hidroiklim sehingga tahun 2100 terutamanya data taburan hujan, berupaya membantu perancangan dan kesiapsiagaan awal kerajaan untuk mengurangkan risiko bencana banjir pada masa hadapan, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata data itu diperoleh menerusi sistem dan portal maklumat unjuran hidroiklim iaitu Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM)-Hydroclimate Data Analysis Accelarator (NHyDAA) yang dibangunkan bermula 2016 dengan mengaplikasikan teknologi Industri Revolusi 4.0 (IR 4.0).

"Sebagai contoh, model unjuran hidroiklim NHyDAA berupaya mengesan unjuran episod hujan yang agak lebat di kawasan utara tanah air termasuk di kawasan Gunung Jerai, Kedah pada Ogos 2021.

"Ini termasuk kejadian banjir luar biasa yang melanda Semenanjung Malaysia, di Lembah Klang dan Pantai Timur pada Disember 2021 termasuk kejadian banjir puing yang berlaku pada 4 Julai 2022 di Kg Iboi, Kupang, Kedah," katanya. 

Beliau berkata demikian menjawab soalan Che Alias Hamid (PN-Kemaman) berhubung penggunaan teknologi IR4.0 bagi mengurangkan risiko bencana banjir pada masa akan datang serta senarai kawasan hotspot yang telah dipasang sistem amaran awal bencana banjir.

Nik Nazmi berkata bagi pembangunan Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) Fasa Satu melibatkan lembangan Sungai Kelantan, Sungai Terengganu dan Sungai Pahang pula, telah beroperasi pada 2017 manakala PRAB Fasa Dua yang melibatkan 38 lembangan sungai di seluruh negara, dijangka siap secara berperingkat dan akan beroperasi sepenuhnya pada 2025.

Katanya, PRAB merupakan program ramalan awal banjir dengan pelaksanaan National Flood Forecasting and Warning System (NaFFWS) yang membuat pengesanan hujan dan paras air pada masa nyata.

Nik Nazmi berkata selain itu, kerajaan juga sedang membina sebanyak 526 stesen siren amaran banjir secara berperingkat untuk ditempatkan di lokasi hotspot di seluruh negara bagi mengeluarkan amaran kepada penduduk. 

Beliau berkata daripada jumlah itu, sejumlah 117 stesen siren ditempatkan di Sabah, Selangor (99), Johor (45), Pahang (40), Kedah (38), masing-masing 28 di Perak dan Kelantan, Pulau Pinang (27), Kuala Lumpur (24), Sarawak (23), Negeri Sembilan (21), Melaka (13), Perlis (12),  Terengganu (10) dan satu di Labuan. - Bernama 

Advertisement