Anda di sini

Sukan elektronik dipertandingkan pada SUKMA 2024

Advertisement

Keputusan dibuat hasil perbincangan dengan exco sukan di negara ini baru-baru ini

 Abdul Karim bergambar bersama peserta dalam sukan elektronik semasa majlis berkenaan yang berlangsung di Hotel Riverside Majestic semalam. – Gambar Roystein Emmor
KENANGAN: Abdul Karim bergambar bersama peserta dalam sukan elektronik semasa majlis berkenaan yang berlangsung di Hotel Riverside Majestic semalam. – Gambar Roystein Emmor

"Selepas dibincangkan mengenai sukan berkenaan (e-Sport), kesemua exco sukan termasuk Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, saya yang menjaga belia termasuk Menteri Belia dan Sukan Sabah bersetuju meletakkan e-Sport sebagai satu sukan yang dipertandingkan pada SUKMA tahun depan.” 

Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan 

Oleh Hamkar Sarbinee

KUCHING: Sukan elektronik (e-Sport) buat julung kalinya akan dipertandingkan pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) yang akan diadakan di Sarawak tahun depan.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ia keputusan yang dibuat hasil perbincangan dengan kesemua exco sukan di negara ini baru-baru ini.

"Selepas dibincangkan mengenai sukan berkenaan (e-Sport), kesemua exco sukan termasuk Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, saya yang menjaga belia termasuk Menteri Belia dan Sukan Sabah bersetuju meletakkan e-Sport sebagai satu sukan yang dipertandingkan pada SUKMA tahun depan.

"Ini sekali gus menjadikan sukan e-Sport pertama kali akan dipertandingkan di mana pingat kemenangan akan disediakan berbanding sebelum ini kalau tidak silap hanya dimainkan untuk pertunjukan," katanya.

Beliau berkata demikiam pada Majlis Penutupan Kejohanan MyBorneo E-Force Invitational 2.0 yang berlangsung di Hotel Riverside Majestic di sini, semalam.

Abdul Karim berkata, negeri yang menang dalam sukan ini, pingat akan dikira dalam pertandingan SUKMA nanti.

"Kita tidak boleh menafikan kerana kita lihat beberapa tahun lalu terhadap minat belia kepada e-Sport begitu meningkat sekali.

"Peranan belia yang ramai dan berminat terhadap sukan ini kita tidak dapat ketepikan walaupun pada suatu ketika dahulu permainan berbentuk 'gaming' ini sangat merisaukan keluarga," jelasnya.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan itu berkata, bagaimanapun, golongan belia perlu menyeimbangkan peranan dalam permainan itu dan tanggungjawab mereka.

"Selain terlibat dalam e-Sport, kita jangan lupa peranan yang lain iaitu kemahiran modal insan dalam kehidupan," jelasnya.

Mengulas mengenai tempat acara e-Sport itu akan diadakan, beliau berkata pihaknya belum mengenal pasti lokasi sukan itu diadakan.

"Kita belum kenal pasti tempat penganjurannya (e-Sport) tetapi sekiranya hotel ini (Riverside) sesuai, kemungkinan sukan itu akan diadakan di hotel ini lagi," ujar Karim.

Mengulas mengenai kejohanan itu, ia dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) menerusi Jabatan Belia dan Sukan Negara dengan kerjasama Persatuan Sukan Elektronik Sarawak (SESA).

Ia turut disokong oleh Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak.

Penganjuran kejohanan itu kali ini berjaya menarik seramai 1,476 penyertaan dari Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan, Brunei Darussalam dan Kalimantan Indonesia.

Acara itu sebelum ini telah berlangsung secara dalam talian bermula 9 hingga 31 Disember 2022.

Sementara itu, seramai 191 peserta layak ke pusingan akhir bagi merebut hadiah terkumpul berjumlah RM26,500 berentap di Hotel Riverside Majestic pada 16 hingga 19 Mac 2023.

Empat kategori sukan yang dipertandingkan adalah PUBG Mobile, Mobile Legends Bang Bang, FIFA 23 dan DOTA 2.

Advertisement