Anda di sini

Polis hargai pegawai, anggota tumpaskan kes curi kenderaan 

Advertisement
 Mohd Zaidi (kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada anggota BSJ IPD Kota Kinabalu pada majlis itu.
PENGHARGAAN: Mohd Zaidi (kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada anggota BSJ IPD Kota Kinabalu pada majlis itu.

KOTA KINABALU: Hasil kejayaan 14 pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu  menumpaskan kes jenayah curi kenderaan dihargai sempena Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-216 hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah mewakili Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah menyampaikan sijil penghargaan kepada pegawai dan anggota berkenaan.

Selain daripada pihak polis, turut menerima sijil penghargaan sempena Hari Polis adalah seramai 10 orang awam dan pengamal media pada majlis di Dataran Kinabalu IPD Kota Kinabalu di sini.

Pada majlis itu, ucapan perutusan Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dibacakan oleh Mohd Zaidi.

Dalam pada itu, kes curi kenderaan terbabit berlaku pada 8 Mac lepas membabitkan kejadian pecah masuk sebuah bilik pameran (showroom) kenderaan di Jalan Lintas Kepayan di sini.

Dalam kejadian itu, suspek melarikan dua pacuan empat roda dan kedua-dua suspek turut memiliki rekod jenayah kes pecah rumah di Semenanjung. 

Hasil siasatan dan risikan berterusan, pasukan BSJ IPD Kota Kinabalu berjaya menumpaskan kumpulan terbabit dan merampas semua barang curi berkenaan pada 15 Mac lalu.

Sementara itu, sempena dengan acara sambutan Hari Polis, satu persembahan menarik babak lakonan menumpaskan penjenayah turut diadakan melibatkan pegawai kanan, anggota IPD Kota Kinabalu di bawah arahan Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintendan Kalsom Idris.
 

  • oleh
  • Advertisement