Anda di sini

PM sedih menyaksikan pantomin tragedi berdarah Lahad Datu

Advertisement
Anwar menahan sebak ketika menyaksikan persembahan Pantomim Op Daulat pada Istiadat Perbarisan Peringatan Hari Polis ke-216 Tahun 2023 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur hari ini. - Gambar Bernama
Anwar menahan sebak ketika menyaksikan persembahan Pantomim Op Daulat pada Istiadat Perbarisan Peringatan Hari Polis ke-216 Tahun 2023 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur hari ini. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini tidak dapat menahan linangan air mata ketika menyaksikan persembahan pantomin yang mengimbau kenangan tragedi berdarah pencerobohan di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah, 10 tahun lepas.

Anwar dilihat beberapa kali mengelap air mata sepanjang 30 minit pantomin itu yang dipersembahkan di Istiadat Perbarisan Peringatan Hari Polis ke-216 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini.

Pantomin itu dipersembahkan oleh 86 pegawai dan anggota polis dari 69 Komando (VAT 69), Pasukan Gerakan Udara, Pasukan Gerakan Am dan Muzium PDRM.

Ia dikoreografikan oleh Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Seri Hazani Ghazali.

Beberapa waris keluarga pegawai dan anggota polis yang terkorban dalam tragedi berkenaan iaitu ASP Zulkifli Mamat dan Sjn Sabaruddin Daud, turut mengambil bahagian dalam persembahan pantomin insiden berdarah itu.

Suasana sekitar PULAPOL turut menjadi sebak seketika apabila empat waris insiden itu muncul pada pengakhiran persembahan yang diadakan untuk mengenang jasa pegawai dan anggota polis yang terkorban ketika tragedi itu.

Pantomin tu berkisar kepada peristiwa pertempuran berdarah di Kampung Tanduo yang menjadi detik hitam dalam sejarah Malaysia.

Pada Feb 2013, Malaysia dikejutkan dengan pencerobohan pengganas bersenjata Sulu yang memasuki perairan negara secara berperingkat di Felda Sahabat, Lahad Datu, yang membawa kepada pertempuran pada 1 Mac di Kampung Tanduo mengakibatkan 10 perwira negara terbunuh, selain kematian 68 pengganas Sulu. Konflik itu diisytiharkan tamat pada 10 April 2013.

Terdahulu, Anwar bersama isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hadir pada istiadat berkenaan sekitar pukul 8.40 pagi.

Istiadat itu juga melakar sejarah dengan keberangkatan buaqt julung kalinya Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. - Bernama 

Advertisement