Anda di sini

KPDN cadang perkenal 'Insurans Rahmah'

Advertisement
SALAHUDDIN
SALAHUDDIN

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang merancang untuk memperkenalkan inisiatif 'Insurans Rahmah' bagi memberi kemudahan perlindungan pada kadar yang lebih berpatutan untuk rakyat.

Menterinya Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata setakat ini satu syarikat insurans telah memberikan respons yang positif berhubung cadangan itu.

“Yang pertama sekali memberikan respons ialah Etiqa Insurans, saya telah meminta pegawai (untuk mengadakan) sesi libat urus tengok macam mana kita boleh jayakan Insurans Rahmah ini.

“..sama ada insurans (perlindungan) kenderaan, perumahan, hartanah dan seumpama dengannya," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Kenduri Menu Rahmah anjuran KPDN di Dewan Serbaguna, Bangunan Parlimen hari ini.

Ditanya mengenai syarikat-syarikat insurans lain yang berminat dengan inisiatif itu, Salahuddin berkata beliau yakin lebih banyak syarikat akan turut serta berdasarkan impak ‘domino effect’ yang terbukti selepas inisiatif Menu Rahmah mula diperkenalkan.

Turut hadir di majlis itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul, Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Rais Yatim serta Ahli-ahli Parlimen.

Sebanyak 14 pemain industri termasuk persatuan-persatuan penyedia makanan yang menawarkan Menu Rahmah turut serta dalam majlis itu, antaranya Mydin, AEON Big, Persatuan Pengusaha Restoran India Muslim, Pertubuhan Sahabat Tom Yam Prihatin Se-Malaysia dan PLUS Berhad.

Turut serta, wakil Marrybrown Sdn Bhd, Old Town White Coffee, McDonald’s Malaysia, Burger King, A & W Malaysia, Texas Chicken Malaysia, Bubblebee, Mios Kitchen dan Temerloh Catering Sdn. Bhd.

Sementara itu, Salahuddin berkata kerajaan akan melancarkan Jualan Rahmah untuk Hari Raya di sebuah gedung tekstil pada Rabu ini.

Beliau berkata inisiatif seumpama ini menerima sambutan memberangsangkan daripada rakyat seperti pasar raya Mydin yang menawarkan harga baju raya serendah RM30 manakala Jakel menawarkan potongan harga sehingga 50 peratus untuk baju raya.

"Ini semua berita gembira kepada rakyat menjelang raya dan saya diberitahu semua hypermarket juga akan terus menjual harga barangan asas dengan Jualan Rahmah," katanya. - Bernama 

Advertisement