Anda di sini

Kompany gagal saingi kehebatan pengurusan Guardiola

Advertisement
 Kompany memeluk Guardiola sebelum sepak mula perlawanan. — Gambar AFP
RAKAN SEJAWAT: Kompany memeluk Guardiola sebelum sepak mula perlawanan. — Gambar AFP

MANCHESTER: Pengurus Burnley, Vincent Kompany mengharungi mimpi ngeri sekembalinya ke Manchester City apabila Erling Haaland menjaringkan hatrik keenamnya musim ini ketika Man City membelasah Burnley 6-0 untuk membawa anak buah Pep Guardiola ke peringkat separuh akhir Piala FA Inggeris.

Kompany, yang memenangi empat kejuaraan Liga Perdana Inggeris sepanjang 11 tahun sebagai pemain City, menerima sambutan meriah di Stadium Etihad.

Tetapi dalam padang, City tidak menunjukkan sebarang belas ehsan kepada bekas kapten mereka apabila Haaland menambah koleksi golnya musim ini kepada 42.

Julian Alvarez juga menjaringkan dua gol dan Cole Palmer menjaringkan satu lagi gol ketika City kekal di landasan untuk memburu tiga  kejuaraan musim ini – Liga  Perdana, Liga Juara-Juara dan Piala FA Inggeris.

Haaland menjaringkan lima gol ketika menewaskan RB Leipzig 7-0 dalam aksi Liga Juara-Juara pada pertengahan minggu.

Penyerang antarabangsa Norway itu menjaringkan sekurang-kurangnya satu hatrik dalam 19 penampilan di Etihad musim ini.

“Ia merupakan beberapa perlawanan yang bagus – perlawanan penting. Untuk menang 7-0 dan 6-0 sebelum rehat bola sepak antarabangsa adalah mengagumkan. Saya benar-benar gembira,” kata Haaland.

“Saya fikir kami adalah dalam bahagian musim di mana kami seharusnya berada di tahap terbaik kami.”

Burnley menghampiri kelayakan ke Liga Perdana pada musim pertama Kompany sebagai pengurus.

Tetapi pendahulu Liga Kejuaraan itu ditunjukkan jurang yang perlu mereka rapat musim hadapan dalam Liga Perdana dengan penyudah berbisa City.

“Ia sentiasa satu tempat di mana saya berasa bangga untuk kembali tetapi saya juga berasa bangga untuk datang ke sini bersama Burnley,” kata Kompany.

Burnley bermula dengan memberangsangkan tetapi semua itu berakhir sebaik sahaja Haaland membuka jaringan dari satu umpanan Alvarez pada minit ke-32.

Tidak lama selepas itu, City mendahului 2-0 apabila Haaland menyempurnakan hantaran Phil Foden.

Haaland melengkapkan hatrik selepas merembat bola muntah dari rembatan Foden yang terkena palang.

Prestasi luar biasa Halaand menyelubungi permulaan cemerlang Alvarez di City.

Pemenang Piala Dunia 2022 bersama Argentina itu menandatangani kontrak baharu di Etihad minggu ini dan meraikannya dengan dua gol dari dua umpanan Kevin De Bruyne.

Di antara dua gol itu, Palmer menjaringkan gol kelima City.

City menjadi pasukan pertama menempah tiket ke peringkat separuh akhir, dengan tiga lagi perlawanan suku akhir berlangsung pada Ahad. — AFP

Advertisement