Anda di sini

Keberangkatan Agong ke sambutan Hari Polis beri impak motivasi kepada warga PDRM: Saifuddin

Advertisement
Al-Sultan Abdullah berkenan memeriksa perbarisan pada Istiadat Perbarisan Peringatan Hari Polis ke-216 Tahun 2023 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur hari ini.  Turut hadir Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani. - Gambar Bernama
Al-Sultan Abdullah berkenan memeriksa perbarisan pada Istiadat Perbarisan Peringatan Hari Polis ke-216 Tahun 2023 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur hari ini. Turut hadir Acryl Sani. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Keberangkatan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang julung kali mencemar duli ke Istiadat Perbarisan Peringatan Hari Polis ke-216 hari ini memberikan impak besar kepada moral dan motivasi pasukan polis.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang menyifatkan keberangkatan Seri Paduka sebagai momen berharga berkata, ia mendorong warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk lebih kompeten, komitmen dan profesional, sesuai dengan tugas hakiki.

“Sambutan Hari Polis hari ini menjadi lebih manis dengan menerima tetamu Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Bagi pihak seluruh keluarga besar pasukan polis, ia tentunya menjadi momen yang sangat berharga,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri istiadat itu di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan warga PDRM atas perkhidmatan yang disifatkannya luar biasa.

Mengulas mengenai sumbangan enam kenderaan pacuan empat roda dan 25 kontena untuk penyimpanan barang rampasan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) kepada PDRM, Saifuddin berkata ia merupakan inisiatif yang baik, dan beliau turut mengajak syarikat-syarikat luar untuk mencontohi inisiatif itu.

Saifuddin berkata sumbangan itu boleh membantu PDRM dalam membanteras kegiatan mencuri elektrik yang boleh membawa kerugian mencecah ratusan ribu ringgit jika tidak dibanteras, selain akan meningkatkan aset pasukan keselamatan negara tanpa melibatkan belanjawan yang diperuntukan untuk polis.

Bagi tempoh 2020 sehingga Februari lepas, operasi kerjasama PDRM dan TNB bagi membanteras kegiatan mencuri elektrik telah berjaya mengelak kerugian yang dianggarkan RM278.5 juta.

Sementara itu, Acryl Sani dalam ucapannya berkata kemakmuran yang dinikmati hari ini adalah hasil pengorbanan pejuang-pejuang terdahulu yang telah berkorban demi memastikan kedaulatan setiap inci bumi bertuah ini terpelihara.

Mengekalkan tema sambutan iaitu “Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada”, beliau berkata warga PDRM sentiasa sedia berkhidmat memikul tanggungjawab bagi mengekalkan keselamatan, keamanan dan kesejahteraan masyarakat dan negara dari pelbagai ancaman jenayah, cabaran krisis kesihatan serta bencana alam. - Bernama 

Advertisement